KOTA BHARU: Lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini kelmarin mengalami masalah kemurungan sejak beberapa tahun lalu.
Ibunya Rohani Mohamad, 59, berkata, sebelum ini Muhamad Syafiq Razali, 28, bekerja di Johor dan pulang menetap bersamanya di kampung pada 2021 selepas kematian kakak serta abangnya.
“Muhamad Syafiq pulang (ke kampung) kerana dia mahu menjaga saya yang tinggal bersendirian. Sejak pulang ke kampung halaman Mohd Shafiq mula berubah sikap dengan menjadi sangat pendiam dan sering termenung.
“Selain itu, dia dilihat banyak berkurung dalam bilik. Walaupun dalam keadaan kemurungan, namun setiap pagi dan petang dia akan bergilir-gilir dengan adiknya mengambil serta menghantar saya ke tempat kerja di sebuah kedai makan di Tapang Kota Bharu,” katanya ketika ditemui hari ini
Rohani memberitahu, tiada sebarang perubahan pelik yang ditunjukkan oleh Muhamad Syafiq kecuali dia hanya mahu baring di sebelahnya beberapa hari sebelum kejadian.
“Apabila Abe Piq (Muhamad Syafiq) nampak saya baring di ruang tamu, dia akan baring sebelah saya. Dia juga ada cium pipi saya apabila mahu keluar pada waktu malam. Sebelum ini dia tidak pernah buat begitu.
“Dari pagi sampai tengah malam saya tunggu. Malam tadi saya buat solat hajat agar dipermudahkan urusan pencarian. Pagi ini, saya datang lagi, timbullah Abe Piq,” ujarnya.
Utusan Online semalam melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi apabila mangsa meninggalkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 Dream dengan sekotak rokok di dalam raga dan sepasang selipar sebelum terjatuh ke dalam sungai.
Saksi kejadian, Asmadi Deraman, 50, berkata, dia sempat melihat mangsa terkapai-kapai di dalam sungai tersebut selepas terjatuh dari jambatan.-UTUSAN










