SEREMBAN: Lebih banyak koperasi di Negeri Sembilan disasarkan untuk berada dalam kalangan 100 koperasi terbaik di negara ini pada masa akan datang berbanding hanya sebuah sahaja ketika ini.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sembilan, Shahrizan Rosli berkata, ketika ini hanya Koperasi Peserta-Peserta Felcra Kawasan Kerangai Penagoh Negeri Sembilan Bhd. berada dalam kelompok itu iaitu di kedudukan ke-50.
“Setiap tahun ada Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia, setiap tahun akan berubah koperasi yang tersenarai. Penilaiannya dilihat kepada faktor kewangan dan bukan kewangan, dan negeri akan lihat perolehan koperasi itu dan pematuhan kepada statutori iaitu contohnya daripada segi pengauditan penyata kewangan koperasi serta pelaksanaan mesyuarat agung tahunan.
“Kami berharap untuk tahun-tahun mendatang ada penambahan koperasi (dari Negeri Sembilan) tersenarai dalam 100 koperasi terbaik. Sebelum ini ada dua namun selepas kami buat penilaian hanya satu yang tersenarai. Sebenarnya kita ada banyak koperasi besar cuma berada dalam senarai itu atau tidak ia melalui fasa pemilihan jawatankuasa, ada juga yang masuk dalam 350 koperasi terbaik seluruh negara.
“Sasaran kami kalau dua koperasi tersenarai juga adalah baik, jika dapat tiga koperasi ia merupakan bonus. Banyak insentif dan kelebihan kepada koperasi yang masuk dalam senarai 100 koperasi terbaik ini, ia termasuk pemberiaan pembiayaan dengan kadar istimewa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Peningkatan Imej SKM Bersama Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Kerajaan dan Rakan Media Rasmi Negeri Sembilan di sini hari ini.
Sementara itu, Shahrizan berkata, terdapat sebanyak 780 buah koperasi berdaftar di negeri ini dengan keanggotaan seramai 192,503 orang manakala jumlah syer terkumpul berjumlah RM123 juta serta aset bernilai RM400 juta dengan keseluruhan perolehan sebanyak RM190 juta.
“Lebih 70 peratus koperasi di negeri ini menjalankan aktiviti pengguna, perkhidmatan dan pertanian termasuk koperasi sekolah.
“Saya percaya koperasi di Negeri Sembilan tidak kurang hebat dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan diharapkan lebih banyak koperasi akan tersenarai di dalam 100 koperasi terbaik itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, menurutnya, program yang diadakan pihaknya hari ini bertujuan mempromosikan peranan dan perkhidmatan SKM sebagai badan kawal selia koperasi selain memberi pendedahan terhadap pendidikan khususnya tadbir urus koperasi.-UTUSAN.









