KOTA BHARU: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Malaysia mahu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengkaji semula kewujudan bidang pengajian yang tiada nilai komersial di pasaran universiti tempatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Tetapnya Nik Saiful Adli Burhan berkata, kewujudan bidang pengajian baharu itu hanya menambah jawatan profesor dan pegawai bergred tinggi namun gagal menghasilkan graduan yang ada nilai komersial.
“Sifat pendidikan tinggi ini memerlukan modal wang dan tenaga. Di akhir proses itu pelajar akan memasarkan dirinya sebagai produk dalam industri pendidikan ini.
“Situasi itu tidak ubah seperti sistem pelaburan dalam perniagaan. Apabila pendidikan tinggi sudah mula dianggap sebagai pelaburan, maka pelabur mana yang nak rugi bila melabur.
“Pertimbangan terhadap risiko itu menjadi faktor pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) fikir 2 kali sebelum terperangkap dalam ‘pelaburan’ berisiko ini,” katanya selepas diminta mengulas isu calon SPM yang enggan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Nik Saiful memberitahu, ekoran itu pelajar menjadikan pempengaruh di media sosial berjaya sebagai idola mereka menerusi kemampuan menjana pendapatan lumayan tanpa bergantung kepada kelulusan akademik.
Katanya, melihat kepada situasi itu kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak pilihan pengajian tinggi awam yang memberi nilai komersial kepada pasaran kerja, bukannya jurusan bersifat syok sendiri.
“Wujudkan kemahiran untuk lepasan SPM yang memberi nilai kepada pasaran kerja, bukannya kelulusan akademik semata-mata,” ujarnya.








