REMBAU: Sebuah kereta perisai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Gempita antara empat buah kenderaan yang terbabit dalam nahas di Kilometer 36.4, Jalan Seremban-Tampin, dekat Kota, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, selain kereta perisai tersebut yang dipandu seorang anggota tentera lelaki berusia 34 tahun, tiga lagi kenderaan terlibat adalah Proton Saga yang dipandu wanita berusia 48 tahun, sebuah kereta jenis Perodua Axia dipandu wanita berusia 29 tahun dan kereta jenis Proton Saga FLX dipandu lelaki berusia 45 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu Proton Saga dalam perjalanan untuk pergi bekerja di Create, Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka melalui jalan tersebut dan sebaik tiba di lokasi, pemandu Perodua Axia yang berada di belakang telah hilang kawalan lalu melanggar belakang Proton Saga itu.
“Pada masa yang sama, datang kereta jenis Proton Saga FLX juga melanggar belakang Perodua Axia. Perodua Axia kemudiannya masuk ke laluan bertentangan lalu dilanggar oleh kereta perisai Gempita yang datang dari arah bertentangan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Shaik lagi, akibat dari kemalangan itu, pemandu kereta Perodua Axia dan penumpangnya telah mengalami kecederaan di bahagian bibir akibat hentakan dari beg udara kenderaan.
Menurutnya, mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Punca kemalangan adalah disebabkan kenderaan Perodua Axia hilang kawalan. Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya.-UTUSAN.










