Kerajaan minta AstraZeneca beri penjelasan kesan vaksin

Kerajaan minta AstraZeneca beri penjelasan kesan vaksin

DZULKEFLY Ahmad melawat seorang penduduk Orang Asli yang menjalani pemeriksaan gigi di Kampung Orang Asli Tun Abdul Razak, Kuala Kubu Bharu, semalam. – UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kerajaan meminta pengeluar vaksin Covid-19, AstraZeneca untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai kesan sampingan daripada vaksin itu yang diakui menyebabkan sindrom Thrombosis with Thrombocytopenia Syndrome (TTS).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, AstraZeneca perlu bersikap telus dan menjelaskan bukan sahaja kepada rakyat di negara ini tetapi juga penerimanya di seluruh dunia.

Menurutnya, penjelasan tersebut perlu untuk mengelakkan kebimbangan dalam kalangan penerima walaupun kadar risiko yang dilaporkan berada pada tahap 0.88 daripada sejuta dos yang diberikan.

“Semua tahu ada kesan sampingan dan kita dalam kementerian pun ada garis panduan, kita pantau apa pun simptom yang ada, kalau ada kaitan langsung kita tunggu macam mana.

“Kita boleh minta wakil AstraZeneca untuk membuat penjelasan yang lebih teliti dan saya mahu lebih telus kepada semua rakyat dan media, mereka mesti bertanggungjawab, tiada apa yang hendak kita sembunyikan begitu juga mereka,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan AstraZeneca mengakui buat kali pertama dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covidnya boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Gergasi farmaseutikal itu didakwa vaksin yang dibangunkan bersama Universiti Oxford menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam berpuluh-puluh kes.

Mereka mengakui dalam dokumen undang-undang yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi pada Februari lalu bahawa, vaksin Covid-19 keluarannya dalam kes yang sangat jarang berlaku boleh menyebabkan sindrom TTS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN