Kerajaan ambil tindakan tegas

Kerajaan ambil tindakan tegas terhadap pihak diskriminasi minyak sawit

JOHARI Abdul Ghani pada sidang media berkaitan isu minyak sawit di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pi­hak sama ada penjual, pengedar atau peng­import produk yang mendiskri­mina­si minyak sawit negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tin­dakan tegas boleh diambil di bawah akta sedia ada bagi melindungi kepenti­ngan minyak sawit yang merupakan komoditi penting buat negara.

Kata beliau, minyak sawit merupakan eksport ketiga terbesar negara dan sektor berkenaan memberi peluang pekerjaan kepada hampir satu juta orang.

“Tahun lepas kita eksport RM102 billion. Kita perlu tahu (ladang) kelapa sawit di dalam negara kita mempunyai 5.7 juta hektar.

“Daripada itu 73 peratus dikendalikan oleh syarikat besar dan 27 peratus dikendalikan oleh pemegang saham kecil yang mempunyai 405,000 isi rumah yang terlibat dalam industri,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Mana-mana pihak yang men­diskriminasi minyak sawit boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Daga­ngan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Kelmarin, Kementerian Per­dagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil tindakan ke atas kedai serbaneka di Presint 3, di sini kerana disyaki menjual produk makanan yang tertera perkataan ‘No Palm Oil’.

Serbuan dilakukan oleh penguat kuasa KPDN Putrajaya selepas menerima aduan awam berhubung pembungkusan pro­duk berkenaan semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, hasil pemeriksaan, pasukan menemui produk aiskrim pelbagai perisa yang tertera perkataan No Palm Oil.

“Kesemua produk aiskrim tersebut disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan berjumlah RM897.60. Kes akan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk Keluaran Kelapa Sawit Dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas tindakan KPDN itu, Johari berkata, beliau menyokong tindakan tersebut dan percaya insiden sedemikian tidak akan berlaku di negara pengeluar minyak sawit lain khususnya Indonesia.

Menurut beliau, insiden ter­sebut berlaku disebabkan tidak ada penguatkuasaan yang tegas di dalam negara bagi melin­dungi kepentingan minyak sawit negara.

“Kita perlu berubah jika mahu orang hormat minyak kelapa sawit kita. Kita mahu memberitahu kepada penjual, pengedar dan pengimport boleh dikenakan tindakan ke atas setiap produk yang mendiskriminasi kelapa sawit kita.

“Berpuluh-puluh tahun sudah industri kelapa sawit ini, tetapi ada orang datang untuk mendiskriminasi melalui produk-produk yang tidak ada kaitan dengan edible oil,” katanya.

Industri minyak sawit negara sering berdepan diskriminasi oleh pihak luar terutama negara Barat yang mahu melindungi kepentingan pengeluaran minyak masak mereka.

Parlimen Kesatuan Eropah (EU) misalnya, telah meluluskan Akta Delegasi untuk menyekat dan melarang biodiesel minyak sawit menjelang 2030.

Difahamkan, Akta Delegasi adalah diskriminasi terhadap ekonomi negara membangun di Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin yang menghasilkan minyak sawit.

Malaysia dan negara penge­luar minyak sawit lain, menentang keras tindakan tersebut ke­rana ia melanggar norma per­dagangan global, selain menegas pengeluaran minyak sawit negara adalah secara mampan dan mematuhi piawaian ditetapkan.

Antaranya, skim pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN