JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi Johor Bahru menetapkan 20 Mei ini bagi keputusan perintah larangan bersuara terhadap Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin berkaitan projek kasino di Forest City.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, hari ini.
Katanya, pihak pendakwaan memohon semakan perintah larangan bersuara terhadap anak guamnya supaya tidak membuat atau mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes yang sedang dihadapinya, selepas Mahkamah Sesyen menolak permohonan tersebut sebelum ini.
“Hakim Mahkamah Sesyen telah menolak permohonan ‘gag order’ itu, namun pihak pendakwa raya tidak berpuas hati dengan keputusan atau perintah hakim menolak perintah larangan tersebut.
“Justeru, pendakwa raya di bawah Seksyen 323 Kanun Prosesur Jenayah, iaitu prosedur semakan memohon Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengenepikan perintah tersebut untuk memberikan ‘gag order’ kepada Chegu Bard,” katanya ditemui di pekarangan mahkamah, di sini hari ini.
Pada 30 April lalu, Chegu Bard mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan mengeluarkan penerbitan yang menghasut pihak awam berkaitan projek kasino di Forest City.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu menerusi akaun Facebook miliknya dengan nama ‘Che GuBard’ di Mutiara Villa Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6.30 petang, 26 April lalu.
Mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, namun menolak perintah larangan bersuara yang dipohon pihak pendakwaan selain menetapkan 24 Jun depan untuk sebutan semula kes berkenaan. – UTUSAN










