KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan para peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata, KPDN tidak akan teragak-agak mengambil kesempatan keatas peniaga yang berbuat demikian.
“Kami (KPDN) mempunyai punca kuasa untuk mendapatkan harga setiap barangan di sepanjang rantaian bekalannya. Contohnya apabila kita tarik subsidi ayam, kita lihat ada usaha untuk menaikkan harga yang tidak munasabah pada minggu pertama dan kedua.
“Melihat kepada situasi itu, KPDN terus mengeluarkan notis kepada peniaga yang melanggar peraturan tersebut,” katanya pada sidang media semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat KPDN Kelantan, di sini hari ini.
Fuziah memberitahu, KPDN akan menjalankan pemantauan secara teliti sebagaimana kebiasaan dilaksanakan pada setiap hari.
“Langkah sama kita lakukan semasa pelaksanaan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dahulu.
“Kita pantau setiap hari dan kita akan teliti bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan serta mencatut,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan.
Perdana Menteri memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.-UTUSAN










