KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mendedahkan masalah air menjadi cabaran utama pihaknya dalam kerja-kerja memadamkan kebakaran terbuka ekoran kemarau dan cuaca panas melampau yang sedang melanda negeri ketika ini.
Pengarahnya Zainal Madasin berkata, bagi memastikan tugas itu berjalan lancar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah menambah pembinaan telaga tiub dan pam untuk membolehkan air dialirkan ke lokasi kebakaran sekali gus memudahkan kerja-kerja memadam.
“Kita akui air adalah masalah utama dan cabaran yang perlu diberikan perhatian setiap kali musim panas melampau. Namun hasil kerjasama kukuh antara agensi terlibat kita berjaya berdepan dengan cabaran tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri JBPM Kelantan di sini hari ini.
Zainal memberitahu, sehingga kelmarin sebanyak 1,379 kes kebakaran terbuka telah berlaku di negeri ini melibatkan kebun, ladang, hutan, tanah gambut, belukar, lalang dan sampah.
Katanya, sebanyak 39 lokasi panas yang kerap berlaku kebakaran terbuka telah dikesan melibatkan enam jajahan iaitu Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas, Gua Musang, Kota Bharu dan Tumpat.
“Mengambil kira situasi itu, JBPM Kelantan telah menggerakan anggota di semua balai untuk melakukan rondaan dan memberikan peringatan bahaya pembakaran terbuka di musim kemarau,” ujarnya.-UTUSAN









