KLANG: Perjalanan seorang juruteknik menuju ke tempat kerjanya bertukar tragedi apabila maut digilis treler dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Persiaran Hamzah Alang di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu menyebabkan lelaki tempatan berusia 24 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115Z meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa datang dari arah Kapar menghala ke Meru.
“Mangsa dikatakan cuba memotong sebuah treler sebelum melanggar sebuah basikal di sebelah kiri jalan.
“Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa terjatuh ke atas jalan sebelum digilis treler manakala penunggang basikal berkenaan turut terjatuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, lelaki warga asing berusia 25 tahun yang menunggang basikal bagaimanapun hanya cedera ringan pada kaki kanan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Tambah Vijaya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327 atau balai polis berdekatan.









