SEREMBAN: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menafikan berlaku peningkatan harga makanan dan minuman di kantin-kantin sekolah di negeri ini ketika ini.
Pengarahnya, Datuk Dr. Roslan Hussin berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan daripada ibu bapa atau sekolah berkaitan perkara tersebut.
Bagaimanapun, beliau sentiasa mengingatkan pengusaha kantin sekolah tidak mengambil keputusan sendiri dengan menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual.
“Mereka juga tiada alasan untuk menaikkan harga makanan dan minuman kerana harga barang asas dan mentah di pasaran ketika ini berada dalam keadaan stabil.
“Kedudukan harga stabil ini tidak memungkinkan kantin sekolah menaikkan harga. Kami memang berharap perkara itu tidak berlaku,” katanya kepada pemberita.
Beliau mengulas berkaitan surat bertarikh 3 Mei lalu yang dihantar oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di Paroi di sini kepada ibu bapa sebuah terbabit yang memaklumkan cadangan pengusaha kantin sekolah itu untuk menaikkan harga sebanyak 50 sen ke atas semua jualan makanan berkuat kuasa 6 Mei lalu.
Menerusi surat itu, pihak pengusaha memberikan alasan kenaikan kos bahan asas, bahan mentah, gaji pekerja dan caj pengangkutan yang semakin meningkat.
Roslan berkata, beliau yakin pengusaha kantin di sekolah di negeri ini patuh dengan perjanjian asas yang telah dibuat.
“Pertama, pengusaha perlu rujuk kontrak asas perjanjian ketika menerima tawaran untuk menjalankan perkhidmatan tersebut melihat kepada setiap item.
“Kalau mahu naikkan harga perlu berunding dahulu, perbincangan boleh dibuat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya kita tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan penyelia makanan untuk anak murid.
“Jika benar ada yang tertekan dengan kos, kita perlu bertindak adil kepada pengusaha kantin, ibu bapa dan juga murid. Ibu bapa juga boleh melaporkan aduan sekiranya mendapati terdapat kenaikan makanan dan minuman yang keterlaluan,” katanya.-UTUSAN.









