Johor bina 500 RKJ untuk golongan miskin tegar, asnaf - Utusan Malaysia

Johor bina 500 RKJ untuk golongan miskin tegar, asnaf

MOHD. JAFNI Md. Shukor menjawab soalan dalam Sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 500 unit Rumah Kasih Johor (RKJ) akan dibina di negeri ini menjelang 2026 untuk membantu golongan miskin tegar, asnaf dan B40 memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pembinaan yang bermula tahun ini melibatkan peruntukan berjumlah RM56.5 juta dan RKJ itu dijual pada harga RM75,000; RM80,000 dan RM85,000 berdasarkan saiz dan keluasan.

“Unit RKJ yang dibangunkan pada tahun 2023 telah diserahkan kepada peserta daripada golongan sasar pada bulan Ramadan lalu dengan mengambil kira keperluan bilik mengikut bilangan isi rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada tahun ini, kerajaan negeri sasarkan membina 120 unit RKJ dengan peruntukan RM17 juta, dengan sasaran akhir adalah sebanyak 500 unit RKJ dibina menjelang tahun 2026,” katanya menjawab soalan Sahrizan Jani (BN-Gambir) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Jafni berkata, pemilihan penerima dan unit RKJ ditawarkan selepas Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) membuat lawatan tapak dan menemu ramah calon terlebih dahulu.

“Hasil dapatan akan dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal RKJ sebelum pembinaan unit kediaman itu diluluskan,” jelasnya.

Mengulas tentang pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), beliau memaklumkan Johor merupakan negeri yang mencatat jumlah penawaran tertinggi di bawah pinjaman Skim Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP).

“Sejak 2021 hingga kini, sebanyak 5,147 tawaran pinjaman dikeluarkan kepada pembeli kediaman mampu milik dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM889.4 juta.

“Skim ini menawarkan pembiayaan sehingga 120 peratus dengan kadar maksimum pembiayaan sehingga RM300,000,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini