PETALING JAYA: UMNO akan berkubur seperti nasib Parti Kongres India dan Parti Demokratik Liberal (LDP) Jepun jika orang Melayu tidak lagi memerlukan parti tersebut.
Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, UMNO tidak akan mati selagi orang Melayu terus menghidupkannya sebaliknya boleh berkubur sekiranya ditolak oleh kaum itu sendiri.
Menurut beliau, UMNO merupakan satu institusi orang Melayu yang perlu dipertahankan bukan sahaja kepimpinan dan ahli sebaliknya kaum itu sendiri.
“Hanya Melayu boleh membunuh UMNO. Siapa Melayu itu? Mereka adalah ahli UMNO.
Siapa ahli UMNO itu? Kitalah ahli UMNO itu.
“Mahukah kita membunuh UMNO. Sudah pasti tidak. Kita tidak mahu apa yang terjadi kepada Parti Kongres India dan LDP Jepun akan berlaku kepada UMNO, jadi ia perlu elakkan oleh semua penyokong setia UMNO,” katanya di sini semalam.
BERTUJUAN
Kelmarin, UMNO meraikan ulang tahun penubuhannya ke-78 dan yang bertujuan untuk menyatukan orang Melayu seluruh Semenanjung Tanah Melayu yang ketika itu dibatasi oleh sempadan negeri-negeri berbeza.
Parti yang ditubuhkan di Istana Besar Johor itu amat bermakna bagi membawa negeri-negeri Melayu ini keluar daripada pengaruh Inggeris yang bertapak sejak 1874 di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan, di Pahang (1888), Kelantan (1909), Johor (1915) dan Terengganu pada 1919.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, UMNO harus menjadikan (membaharui) tujuan parti iaitu mempertahan dan mengembangkan agama Islam bagi memastikan agenda itu terus dipertahankan dalam negara dan dikembangkan lagi dalam Kerajaan Perpaduan.
“Tajdid bukan ertinya membuat sesuatu yang baru tetapi ia bermaksud memperbaharui apa yang sedia ada untuk sentiasa segar dan dilihat sentiasa baharu.
“Komitmen ini telah direalisasikan oleh Presiden UMNO dengan penubuhan Majlis Ulama UMNO yang berfungsi menasihati parti, ahli parti, kerajaan dan rakyat selaras dengan Hadis Nabi Muhammad,” katanya.
Malah katanya, seluruh pemimpin dan ahli UMNO wajar memperbaharui tekad perjuangan parti sebagaimana termaktub pada Fasal 3 Perlembagaan di saat parti dilanda ujian oleh sikap pihak berkepentingan yang memecahkan kesatuan hati pimpinan dan ahli parti. – UTUSAN










