JERANTUT: Felcra Berhad (Felcra) merancakkan landskap pembangunan luar bandar melalui pembinaan Projek Loji Janakuasa Biogas (Efluen Sawit) Grid Bersambung Terbesar di Malaysia dengan kapasiti 5.5-megawatt (MW) yang mula beroperasi sepenuhnya pada 11 April lalu di Kilang Sawit Felcra Jayaputra di sini.
Dengan kapasiti 5.5 MW, loji janakuasa biogas ini mampu membekalkan tenaga elektrik kepada hampir 14,000 rumah atau kira-kira 70,000 orang penduduk luar bandar yang bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi.
Inisiatif ini bertepatan dengan Aspirasi Desa Madani yang diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Loji itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record, merupakan kejayaan hasil kerjasama strategik antara Felcra Berhad, Felcra Jayaputra Sdn. Bhd. dan Cenergi SEA Berhad (Cenergi) anak syarikat UEM Group Berhad.
Felcra optimis loji janakuasa yang diuruskan oleh Cenergi FJP ini merupakan pemangkin kepada proses perbandaran di luar bandar melalui impak positif terhadap limpahan ekonomi, kelestarian alam sekitar serta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada masyarakat setempat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penerokaan sumber tenaga boleh diperbaharui melalui projek biogas dari sisa efluen kelapa sawit itu merupakan inisiatif strategik bagi memastikan negara terus memperolehi sumber tenaga elektrik secara berterusan di samping menjamin kelestarian alam sekitar.
Katanya, untuk mencapai aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam tempoh lima ke lapan tahun akan datang, keperluan bekalan tenaga elektrik yang stabil dan konsisten memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan, pertumbuhan, perindustrian dan perbandaran.
“Saya mengucapkan tahniah dan tadi kita menyaksikan bahawa Malaysia Book of Record diperolehi oleh kilang biogas di Jerantut ini dan insya-Allah dalam tempoh dua atau tiga bulan daripada sekarang mereka akan dapat anugerah World Book of Record.
“Kita harap ini akan dapat dijayakan dan setakat ini di Malaysia ini merupakan kilang biogas terbesar mengeluarkan 5.5 MW adalah satu janakuasa elektrik yang besar dalam biogas,” katanya pada Majlis Perasmian Loji Janakuasa Biogas 5.5 Megawatt Cenerfi-Fjp di Kilang Sawit Felcra Jayaputra di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, kejayaan pembinaan kilang janakuasa biogas ini patut menjadi contoh dan pencetus kepada lebih banyak penerokaan teknologi biogas di negara ini.
Justeru beliau berharap sembilan kilang sawit milik Felcra di negara ini mempunyai kemudahan biogas bagi menghasilkan tenaga yang boleh diperbaharui sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar. – UTUSAN










