SEREMBAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM7.3 juta menerusi penganjuran acara FAMA Fest di lapan buah lokasi di seluruh negara yang akan berlangsung sehingga Disember ini.
Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, pada tahun ini acara tersebut bakal melibatkan penyertaan seramai 580 orang usahawan.
Menurutnya, sejak tahun 2017, penganjuran FAMA Fest mendapat sambutan yang menggalakkan untuk pengguna dan usahawan di mana nilai jualan yang dicatat berjumlah RM24 juta.
“Bagi penganjuran FAMA Fest 2024@Negeri Sembilan, ia telah menarik penyertaan seramai 40 orang usahawan dan dijangkakan kehadiran pengunjung sekitar 10,000 orang dan sasaran nilai jualan sebanyak RM250,000 sepanjang empat hari program ini berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program FAMA Fest 2024@Negeri Sembilan di Nilai di sini yang telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Aminuddin sementara itu berkata, selain pengguna dapat memperoleh produk berasaskan pertanian dan industri asas tani pada harga yang berpatutan, penganjuran FAMA Fest juga diharap dapat membuka peluang untuk usahawan tempatan mengeksport produk mereka ke luar negara.
“Ia menerusi tiga ruang pasaran luar negara yang telah disediakan iaitu Hong Kong, China dan Thailand dan dijangka boleh menjana jualan sebanyak RM2 juta seterusnya menjadikan FAMA Fest platform untuk mempromosikan produk ke luar negara,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang turut hadir pada majlis itu berkata, permintaan bekalan lembu dan kambing untuk keperluan ibadah korban masih mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan itu malahan berkata, terdapat penternak khususnya penternak kecil yang tidak dapat menjual ternakan mereka kerana ketiadaan pembeli.
Beliau justeru mencadangkan kepada FAMA supaya mengambil pendekatan untuk membantu penternak untuk memasarkan ternakan mereka itu khususnya sempena hari raya korban.
“Ada penternak yang mempunyai jumlah ternakan sehingga 150 ekor lembu dan kambing, kita perlu bantu mereka supaya tidak mengalami kerugian dalam industri ini. Saya yakin FAMA ada pelbagai kaedah bagi membantu memasarkannya dengan harga yang berpatutan,” katanya.-UTUSAN.











