Fama agih 200 pek tempe kepada murid SK Padang Garuda - Utusan Malaysia

Fama agih 200 pek tempe kepada murid SK Padang Garuda

SAIFUL Sadri (dua dari kiri) dan Mohd. Alhamadi Abu Bakar (kiri) mengagihkan tempe yang siap dimasak kepada murid di SK Padang Garuda di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang mengagihkan 200 pek tempe bersamaan 50 kilogram (kg) kepada 900 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garuda di sini hari ini.

Pengagihan makanan tersebut sebagai salah satu usaha Fama memperkenalkan tempe sebagai pilihan tambahan sumber protein kepada murid sekolah rendah di negeri ini.

Pengarah Fama negeri, Saiful Sadri berkata, pengagihan itu akan berlangsung sepanjang tujuh sesi secara berperingkat.

Katanya, usaha itu dibuat bagi memastikan kanak-kanak mengetahui bahawa makanan tradisional ini juga mempunyai khasiat.

“Kita cuba mempromosikan tempe ini, kalau orang lama mereka kenal dengan tempe, tapi budak sekolah mereka tidak kenal.

“Malah, kita galakan anak muda untuk makan tempe kerana ia juga satu hidangan protein, dan kebergantungan bahan makanan lain seperti ayam dan juga buahan lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tempe sebagai pilihan tambahan bagi sumber protein dan galakan makan buah-buahan tempatan peringkat negeri di SK Padang Garuda di sini hari ini.

Tambah Saiful, selain tempe, turut diagihkan 200kg buah mangga sebagai salah satu hidangan kepada murid SK Padang Garuda.

“Buah-buahan tempatan banyak terdapat di negara ini juga perlu dijadikan hidangan kepada kanak-kanak,” ujarnya.

Menurutnya, program itu yang pertama kali diadakan di peringkat sekolah di negeri ini akan diperluaskan ke sekolah lain selepas mendapati sambutan murid terhadap produk berkenaan begitu menggalakan.

“Kempen makan tempe dan buah-buahan yang diadakan turut dapat menambah sumber pendapatan pada usahawan diperingkat pembuatan dan jualan. Mereka terdiri daripada peniaga di pasar tani Fama.

“Kita turut menyediakan tempe dan bawang dalam bakul Madani setiap kali program jualan Madani diadakan di setiap daerah di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Padang Garuda, Mohd. Alhamadi Abu Bakar berkata, menerusi program tersebut, murid berpeluang merasa tempe secara percuma yang disediakan pihak Fama.

“Pihak sekolah berterima kasih pada Fama yang memilih SK Padang Garuda sebagai lokasi pelancaran kempen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN