Empat tahun urus bapa kena strok, Muhammad Aidil Izzudin bangga dapat 6A - Utusan Malaysia

Empat tahun urus bapa kena strok, Muhammad Aidil Izzudin bangga dapat 6A

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT : Penat lelah seorang anak menguruskan bapanya yang menghidap penyakit strok selama empat tahun akhirnya menerima ganjaran apabila pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini, Muhammad Aidil Izzudin Akbar Nizam, 18, memperoleh 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Aidil Izzudin berkata, setiap hari bermula pukul 6 pagi, rutin harian bersama ibunya, Fazziah Abdullah, 46, mengangkat bapanya, Akhbar Nizam Hamzah, 48, yang menderita penyakit strok ke bilik air untuk membersihkan diri dan mengambil wuduk.

“Semua urusan kebajikan bapa saya lakukan sehinggalah menyediakan sarapan dan ubat sebelum bergerak ke sekolah dengan motosikal dan ada ketikanya tiba di pintu pagar sekolah pembelajaran di kelas sudah bermula lima minit,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini..

Menurut Muhammad Aidil Izzudin, pembelajarannya sedikit terjejas sejak baoanya diserang strok, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus rajin belajar.

Dia memperoleh ‘A’ dalam subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Fizik, manakala Kimia memperoleh ‘B’, serta Matematik Tambahan dan Biologi mendapat ‘C’.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, ibunya tidak mampu memberikan sepenuhnya perhatian kepada bapanya memandangkan wanita itu perlu berniaga bagi mencari rezeki untuk mereka sekeluarga.

“Banyak kali juga saya terpaksa balik sekolah awal kerana ibu tidak dapat menjaga ayah yang tiba-tiba sakit dan sepanjang empat tahun ini, saya hanya fokus terhadap pembelajaran dalam kelas.

“Alhamdulillah semuanya membuahkan hasil dan saya bersyukur dengan pencapaian ini. Ini juga hadiah untuk ibu dan ayah,” ujarnya.

Muhammad Aidil Izzudin memberitahu, dia mahu menyambung pengajian dalam bidang perubatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×