Dua suspek baling bom petrol dituduh esok - Utusan Malaysia

Dua suspek baling bom petrol dituduh esok

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua suspek yang terbabit dalam insiden sebuah pusat hiburan dibaling bom petrol di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur  pada 9 Mei lalu akan dituduh esok.

Sumber memaklumkan, kedua-dua suspek berusia 25 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur.

“Kedua-dua suspek akan dituduh esok pukul 9 pagi manakala dua lagi suspek akan dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur dilaporkan berkata, salah faham berkaitan perniagaan dipercayai menjadi punca berlakunya kes sebuah pusat hiburan dibaling bom petrol dalam kejadian terbabit.

Beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun awal pagi tadi bagi membantu siasatan.

Tangkapan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan setakat ini seramai enam orang.

Katanya, polis juga dijangka membuat beberapa lagi tangkapan dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan.

“Kesemua suspek yang ditahan mempunyai peranan masing-masing dan ada dalam kalangan mereka mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng terbakar selepas dibaling dengan bom petrol awal pagi Khamis lalu.

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 45 saat memaparkan tindakan empat lelaki menunggang dua buah motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×