Dana KWAP RM3.8b terus dilabur tanpa dinilai risiko

Dana KWAP RM3.8b terus dilabur tanpa dinilai risiko

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah SRC International Sdn. Bhd., Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa tiada proses usaha wajar (due diligence) dilakukan terhadap pelaburan yang dikenal pasti oleh SRC International Sdn. Bhd. sebelum dana RM3.8 bilion disalurkan ke luar negara.

Menurut bekas ahli Lembaga Pengarah syarikat terbabit, ini ke­rana dana yang diperoleh hasil pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) telah disalur keluar sebelum melaku proses usaha wajar atau mendapat maklumat risiko pelaburan tersebut.

Kata beliau, tiada apa yang boleh dilakukan oleh Lembaga Pengarah selain membuat pemantauan.

Pada prosiding sebelum ini, bekas pengarah SRC International, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi turut menyatakan tindakan usaha wajar tidak dilakukan kerana resolusi pekeliling (DCR) pengarah ditandatangani dan diluluskan Datuk Seri Najib Razak yang juga perdana menteri dan juga menteri kewangan ketika itu. Pada ketika itu, Najib juga merupakan pemegang saham tunggal dan Penasihat Emeritus SRC International.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, dalam kes saman SRC bagi menuntut ganti rugi RM1.18 bi­lion yang turut menamakan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil yang melarikan diri keluar negara pada tahun 2018.

Selain itu, Che Abdullah yang memberi keterangan sebagai pihak ketiga turut menyatakan bahawa Lembaga Pengarah SRC International meluahkan rasa kecewa apabila dimaklumkan bahawa dana peaburan tersebut tidak dapat diperoleh semula.

PELABURAN

Kata Che Abdullah, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil pernah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah bahawa wang pelaburan tersebut boleh diperoleh semula pada bila-bila masa tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun, selepas diberi peluang untuk berbuat demikian, Nik Faisal tidak melakukan sebaliknya memberikan pelbagai alasan.

“Pada satu ketika, matawang dolar Amerika sangat kukuh dan saya telah memberikan Nik Faisal tempoh setahun untuk mencairkan pelburan tersebut. Disebabkan pencairan itu tidak menjadi kenyataan, saya memutuskan meletakkan jawatan,” kata Che Abdullah.

Pada perbicaraan jenayah prosiding penyelewengan dana SRC International, bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail pernah memaklumkan beliau meletakkan jawatan dalam syarikat terbabit selepas tidak bersetuju dengan cara pengurusan akaun dan kewangan syarikat yang dikendalikan Nik Faisal.

Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn. Bhd. kecewa apabila dimaklumkan bahawa dana pelaburan RM3.6 bilion hasil pinjaman KWAP dan dilaburkan ke luar negara tidak dapat diperoleh semula.

Pada 7 Mei 2021, SRC International memfailkan saman sivil terhadap Najib dan Nik Faisal menuntut ganti rugi AS$1.18 bi­lion. Dalam tuntutan tersebut, lima bekas pengarah syarikat itu turut dinamakan sebagai pihak ketiga. Sebelum ini, SRC menggugurkan lima individu berkenaan dalam saman itu dan hanya mengekalkan Najib dan Nik Faisal sebagai defendan.

Lima individu itu ialah Datuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Shahrol Azral, Tan Sri Ismee Ismail dan Che Abdullah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN