KOTA BHARU: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) melihat kaedah cabutan undi untuk kerja di bawah Program Bagi Mempercepatkan Penyelenggaraan Jalan Dengan Memanfaatkan Kontraktor G1 hingga G4 mampu menggelakkan ketirisan.
Presidennya Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berkata, kaedah yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya itu mampu membantu semua pihak secara menyeluruh kepada 140,000 kontraktor di seluruh negara dengan 80 peratus daripadanya merupakan kontraktor G1 hingga G4.
“Sehubungan itu kita cadangkan kerajaan memperluaskan kaedah itu termasuk untuk projek baik pulih dan naik taraf tandas 1,919 sekolah bantuan kerajaan dengan peruntukan RM134 juta seperti diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh minggu lepas.
“Tiada sebab kerajaan tidak mahu melaksanakan kaedah cabutan kerja undi ini kerana ia sememangnya dapat membantu memepercepatkan projek-projek kerajaan, membantu kitaran ekonomi serta membantu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, melalui kaedah berkenaan setiap kontraktor akan berpuas hati walaupun tidak mendapat projek kerana yakin penganugerahan kontrak dibuat secara sempurna tanpa ketirisan dan seumpamanya.
“Sebenarnya kita melihat ada ruang untuk melahirkan keraguan terhadap pemberian projek melalui kaedah konvensional sama ada sebut harga, tender terpilih atau inden walaupun dari sudut tata kelola Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan ketulusan berlaku.
“Namun di lapangan dan dalam peringkat pelaksanaan, ada banyak situasi yang boleh mencetuskan keraguan dalam kalangan kontraktor dan dengan adanya kaedah cabutan kerja undi ini segala persepsi itu akan terhapus dan kredit akan kembali kepada kerajaan,” ujarnya.
Mohd. Rosdi berkata, semua pihak harus mengakui bahawa bilangan kontraktor di Malaysia terlalu ramai berbanding kek ekonomi negara dengan kadar pertumbuhan KDNK sebanyak empat peratus pada suku pertama 2024.
Katanya, situasi itu menyebabkan ramai kontraktor sukar mendapat projek dan banyak situasi memperlihatkan ada kumpulan sama mendapat peluang melalui kaedah pelaksanaan menyebabkan kerajaan sendiri menyedari kewujudan kartel dalam industri pembinaan.
“Kita tidak boleh menafikan kewujudan kartel yang memegang banyak lesen dan berlaku di seluruh negara. Mereka memonopoli kaedah perolehan kontrak menyebabkan peluang kontraktor tulen lain terutama bumiputera menjadi kecil dan tersekat.
“Kita melihat kaedah cabutan kerja undi ini mampu menangani masalah kartel kerana kontraktor tulen lain turut berpeluang mendapat projek. Walaupun tidak dapat projek tetapi mereka yakin berpeluang dan mendapat semangat baharu untuk memperbaharui lesen,” ujarnya.-UTUSAN










