KUALA LUMPUR: Berkat doa sewaktu melaksanakan umrah bulan lalu, pelakon, Neera Azizi akhirnya mengambil keputusan untuk mula berhijab bagi mendekatkan lagi dirinya kepada Allah.
Neera Azizi atau nama sebenarnya Nurazneera Azizi, 26, berkata, keputusan untuk berhijab merupakan pilihannya sendiri.
Berkongsi kisah penghijrahannya, Neera berkata, selepas melangkah kaki ke Tanah Suci, tiga hari berturut-turut beliau bermimpi sedang berhijab dan menganggap ia sebagai petunjuk daripada Allah kepada dirinya.
“Sewaktu buat umrah lagi, saya sentiasa berdoa dilimpahkan rezeki dan mungkin ini salah satu rezeki yang Allah bagi kepada saya,” jelasnya.
Namun begitu, beliau menganggap bahawa penghijrahan itu bukan satu perkara yang mudah, malah beliau terpaksa menghadapi cemuhan daripada orang yang berada di sekelilingnya.
“Ada yang anggap saya pakai tudung sebab hendak ikut trend dan ada yang cuba menakutkan saya kalau berhijab susah hendak dapat ‘job’.
“Terdapat juga pengarah filem yang turut menawarkan saya untuk memegang watak sebagai penyondol dan penari kelab malam sehingga menyarankan saya membuka tudung.
“Tetapi saya terpaksa menolak semua tawaran itu kerana saya sedar bahawa saya sedang berhijab dan sememangnya saya wajib menjaga batas tertentu,” katanya selepas sidang media bagi drama teater Srikandi Empayar Melaka, semalam.
Anak kelahiran Melaka, Neera dahulunya pernah menghadapi kontroversi ketika menyampaikan persembahan nyanyian di program bual bicara MHI, tiga tahun lalu.
Namun, sebelum mendapat kecaman teruk, beliau sudahpun memberi salam perkenalan kepada dunia lakonan sehingga pernah memegang watak sebagai Dr. Anisa dalam drama adaptasi novel, Sayangku Kapten Mukhriz arahan Yeop Hitler. – UTUSAN










