PETALING JAYA: Masyarakat diseru bangkit memberi tekanan kepada rejim Zionis termasuk sekutunya untuk berhenti melakukan penindasan kepada penduduk Palestin terutamanya lebih satu setengah juta rakyatnya yang berlindung di Rafah.
Penasihat Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar), Nurul Izzah Anwar menyifatkan, rejim Zionis menjadikan Rafah sebagai tebusan memaksa Hamas bersetuju dengan syarat mereka dalam proses gencatan senjata.
“Setelah beberapa pusingan rundingan dan cadangan gencatan senjata, Hamas telah memberi gambaran menerima draf gencatan senjata yang dicadangkan oleh Qatar dan Mesir.
“Namun pada pagi ini, dunia sekali lagi dikejutkan dengan gambaran sebenar perangai Israel yang telah menghantar kereta kebal mereka di Kompleks Imigresen Rafah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Nurul Izzah, tindakan tentera Israel yang menguasai Kompleks Imigresen Rafah menyebabkan pergerakan sukarelawan serta bantuan melalui pintu masuk dan keluar dari Gaza dan Mesir itu dihentikan.
Beliau turut menyifatkan, tindakan rejim Zionis menaikkan bendera Israel di kompleks itu sebagai biadap.
“Apa yang merisaukan kita ialah Israel ingin meneruskan pembunuhan dan kemusnahan walaupun cadangan gencatan senjata telah diterima semata-mata untuk memenuhi kehendak jahat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Pencabulan berkali-kali dalam hak asasi manusia oleh rejim Israel di Gaza ini jelas menunjukkan keangkuhan mereka seolah-olah mereka kebal daripada segala perundangan antarabangsa,” katanya.









