PETALING JAYA: Capaian internet kurang memuaskan dan pemilikan peranti masih rendah, perlu ditangani bagi mengelak keciciran digital dalam kalangan pelajar, menurut pakar pendidikan.
Ia susulan laporan Dasar Pendidikan Digital 2023 menunjukkan, lebih 69 peratus ibu bapa melaporkan kelajuan internet pada tahap sederhana, 10 peratus rendah dan hanya 20.6 peratus memiliki capaian tinggi.
Laporan itu memetik Soal Selidik Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian melibatkan 900,000 responden, turut mendapati, sebanyak 36.2 peratus murid di bandar dan 35.4 peratus murid di luar bandar tidak memiliki peranti.
Walaupun soal selidik itu dibuat sewaktu proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika negara berhadapan wabak Covid-19 awal 2020, namun ia menunjukkan liputan internet dan pemilikan peranti belum sempurna dan wajar ditambah baik.
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, isu paling utama dalam melaksanakan pendidikan digital ialah wujudnya jurang digital dalam kalangan pelajar khususnya daripada keluarga miskin dan kawasan pedalaman.
Katanya, Laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menunjukkan jika isu jurang digital tidak diberikan perhatian, maka akan berlaku keciciran digital.
“Isu paling ketara ketika melaksanakan pendidikan digital adalah kebimbangan jurang digital dalam kalangan pelajar melibatkan golongan tidak kemampuan dan luar bandar.
“Maka, satu pelan strategik yang jelas mesti dirangka dan dilaksanakan segera bagi memastikan jurang digital tidak berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Minggu lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan beberapa inisiatif bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital antaranya menyediakan ruang bagi guru meningkatkan kemahiran termasuk menerusi kursus pemerkasaan dalam domain Kecerdasan Buatan (AI) dengan menyasarkan 500 guru terpilih di seluruh negara.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan pengajaran silibus AI terhadap pelajar sekolah mulai 2027.
Dalam pada itu, Anuar berkata, kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap liputan internet di sekolah luar bandar kerana masih banyak institusi pendidikan tidak mempunyai kemudahan capaian jalur lebar yang memuaskan.
“Ini menyebabkan guru tidak dapat melaksanakan pengajaran menggunakan internet dan akan menyebabkan pelajar luar bandar ketinggalan dalam pengajaran dan pembelajaran berasaskan digital. Semakin lama, maka semakin jauh ketinggalan,” katanya.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon pula berkata, masih ada sekolah di luar bandar tiada capaian internet sekali gus menyukarkan pengajaran pendidikan digital.
Katanya, masalah capaian internet dan infrastruktur digital di sekolah perlu ditangani terlebih dahulu jika kerajaan mahu melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital bagi mempelopori bidang AI dalam kalangan 418,063 warga pendidik di 12,690 sekolah seluruh negara.
Katanya, kerajaan perlu menyasarkan capaian liputan internet di sekolah sekurang-kurangnya 80 peratus jika mahu merealisasikan hasrat melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital.
“Tidak mungkin capai liputan 100 peratus kerana ada sekolah terletak di kawasan pendalaman, tetapi biarlah sehingga 80 peratus agar pengajaran dan pembelajaran AI berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN










