AS mahu halang Malaysia dipergunakan Hamas kumpul dana

AS mahu halang Malaysia dipergunakan Hamas kumpul dana

BRIAN NELSON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) memberitahu bahawa negara itu sedang berusaha menghalang Malaysia daripada menjadi tempat di mana kumpulan Hamas boleh mengumpul dana dan memindahkan wang.

Dalam laporan Reuters semalam, Setiausaha Rendah Perbendaharaan AS, Brian Nelson berkata, AS juga melihat keupayaan Iran untuk memindahkan minyaknya yang bergantung kepada penyedia perkhidmatan yang berpangkalan di Malaysia.

Nelson berkata demikian ketika berucap di Singapura.

Beliau juga dijangka melawat Malaysia.

Reuters melaporkan minggu lalu, lawatan itu dibuat ketika Jabatan Perbendaharaan AS meningkatkan tumpuannya terhadap pembiayaan pengganas melalui Asia Tenggara termasuk melalui usaha mengumpul dana dan penjualan minyak Iran yang haram.

Agensi berita itu melaporkan, terdapat peningkatan dalam wang yang dipindahkan ke Iran dan proksinya termasuk Hamas melalui sistem kewangan Malaysia dengan Nelson dijangka membincangkan kebimbangan AS dan risiko sekatan yang ditimbulkan oleh aktiviti tersebut.

AS menetapkan Hamas sebagai organisasi pengganas asing pada 1997.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia hanya mempunyai hubungan dengan sayap politik Hamas, sambil menambah bahawa negara itu tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana kumpulan pengganas.

Anwar juga berkata, dasar luar negara konsisten selama ini, memetik pendiriannya menentang aparteid dan penghapusan etnik.

Hamas yang menguasai Gaza selama hampir dua dekad menyerang Israel pada 7 Oktober lalu, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menculik 252 yang lain di mana 133 daripadanya dipercayai kekal dalam tahanan di Gaza.

Lebih 34,600 rakyat Palestin terbunuh dalam konflik yang berlaku, menurut pegawai kesihatan Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN