IPOH: Perdana Menteri membidas pihak yang mengkritik keputusan kerajaan menaikkan kadar gaji penjawat awam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjawat awam termasuk anggota beruniform seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selain polis dan tentera wajar diberikan pengiktirafan kerana memainkan peranan dan tanggungjawab menjaga keamanan negara.
“Masyarakat kadang-kadang berleter, mengeluh, pertikai beberapa keputusan apabila kita nak berikan tambahan upah dan pengiktirafan kepada penjawat awam. Dia kata mengapa dalam keadaan ekonomi sekarang, kenapa kerajaan pilih untuk menaikkan elaun dan gaji dan upah penjawat awam?
“Dia lupa, negara aman selamat daripada kebakaran dan tanah runtuh semuanya kerana pengorbanan (JBPM). Kita lupa, negara ini aman dan selamat kerana kawalan tentera, polis dan bomba.
“Tapi kadang-kadang simpati dan kefahamannya kurang, ini yang jadi masalah kita. Kita anggap ini suatu khidmat yang harus ada. Ya, tapi siapa yang berkhidmat itu?
“Anak-anak kita, keluarga kita, mereka melalui satu latihan, memerlukan pengorbanan, ada yang terkorban nyawa, ada cedera parah tapi mereka dapat menjamin satu keadaan yang selesa bagi negara.
“Sebab itu bagi kerajaan dan rakyat seluruhnya, saya menyatakan penghargaan terima kasih atas khidmat dan jasa JBPM,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan di Tambun di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Anwar mengajak rakyat menolak pemimpin yang mengkritik keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam tanpa alasan munasabah.
Menurut beliau, mulai 1 Disember nanti, rakyat bakal menyaksikan kenaikan gaji penjawat awam yang terbaik pernah dibuat dalam negara.
Kata beliau, kenaikkan itu dilakukan walaupun keadaan ekonomi tidak begitu baik, namun ekonomi negara tetap berkembang.
“Saya tahu ada yang mengkritik. Saya tahu ada ahli Parlimen yang mengatakan ‘mana tahu dalam Parlimen (kenaikan gaji) tidak akan lulus.’
“Saya nak tengok muka mana yang nak menentang kenaikan elaun dan gaji perkhidmatan awam. Kalau ada yang berani menentang tanpa alasan yang munasabah, kita humbankan mereka dalam pilihan raya,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kadar lebih 13 peratus peningkatan gaji penjawat awam yang diumumkan sebelum ini hanya secara menyeluruh.
Namun, katanya, peningkatannya akan menyaksikan kadar yang lebih daripada itu mencecah 30 peratus kenaikan bagi mengurangkan jurang gaji antara pegawai serta kakitangan peringkat bawah.
“Bagi kalangan peringkat bawah, kenaikannya lebih tinggi kerana kita tidak mahu kesenjangan (jurang) terlalu tinggi antara gaji pegawai dengan peringkat bawah.
“Maknanya di peringkat bawah mungkin sampai 20, 25 dan 30 peratus peningkatan, tetapi keseluruhannya saya umumkan lebih 13 peratus,” katanya. – UTUSAN










