Anak perlu jalani pemindahan hati, suami isteri rayu sumbangan - Utusan Malaysia

Anak perlu jalani pemindahan hati, suami isteri rayu sumbangan

MOHAMAD Assahid Mohamad Zin dan Noor Shahieda bersama anak mereka, Ayra Sumayyah ketika ditemui di Felda Raja Alias 4, Jempol hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang kanak-kanak berusia setahun yang menderita penyakit Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati memerlukan dana sebanyak RM250,000 untuk melakukan prosedur pemindahan hati di Hospital Renji, di Shanghai, China.

Bapa kanak-kanak itu yang juga seorang anggota tentera, Sarjan Mohamad Assahid Mohamad Zin, 35, berkata, anaknya, Ayra Sumayyah dikesan menghidap penyakit tersebut ketika berusia dua minggu sebelum melakukan pembedahan Kasai.

Menurutnya, ‘Kasai Procedure’ sebagai kaedah pertama iaitu pembedahan membuang duktus hempedu yang rosak dan penyambungan bahagian usus ke hati namun pegawai perubatan menyarankan pemindahan hati dilakukan sebelum usianya dua tahun.

“Buat masa ini, dana yang terkumpul kira-kira RM70,000 hasil daripada kutipan dana akaun isteri saya, Noor Shahieda Mohamad Ajamin, 33, dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kami berharap dana sebanyak RM250,000 dapat dikumpul dalam masa terdekat memandangkan kami dijangka ke China hujung bulan ini atau awal bulan depan,” katanya ketika ditemui pemberita di Felda Raja Alias 4, di sini, hari ini.

Sementara itu, Noor Shahieda berkata, dia sudah menjalani pemeriksaan kesihatan dan hatinya sesuai untuk didermakan kepada anak keduanya itu serta anaknya juga berada dalam keadaan baik untuk menjalani pembedahan tersebut.

Bagaimanapun menurutnya, faktor kewangan menjadi kekangan kepada mereka untuk memastikan pembedahan berkenaan dapat berjalan secepat mungkin.

“Sebagai seorang ibu, luluh hati saya bila mengetahui anak saya sakit seperti ini semasa saya masih dalam pantang. Doktor maklum, bacaan kuning hatinya semakin tinggi menjadikan perut anak saya semakin besar,” katanya.

Bagi yang ingin membantu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Noor Shahieda di nombor 01126138576 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 162263474429 atas nama Noor Shahieda Mohamad Ajamin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×