Anak MB Perlis mohon dibicara

Anak MB Perlis mohon dibicara

MOHD. Syafeeq Mohd. Shukri tiba di pekarangan mahkamah bagi menghadapi pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM19, 505.10 di Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis, semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Anak Menteri Besar Perlis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Mohd. Syafeeq Mohd. Shukri, 35, memohon untuk dibicarakan bagi pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Syafeeq didakwa memberikan satu dokumen kepada seorang ejen yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan niat memperdaya prinsipalnya.

Tertuduh didakwa dengan niat memperdayakan dokumen Pesanan Kerajaan (Bekalan dan Perkhidmatan) Kerajaan Negeri Perlis bertarikh 14 Februari 2024 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis di HTF di sini.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri pada 19 Februari lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rehab Abdul Shukor mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan dan syarat tambahan, passportnya diserahkan pada mahkamah selain perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM berhampiran pada setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Mohd. Fadhly Yaacob mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai peniaga gas dan petani dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta memerintahkannya melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes. Mohd Syafeeq membayar wang jaminan tersebut.

Sementara itu, Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang berkaitan anak lelakinya itu.

“Pagi ini anak saya dihadapkan ke mahkamah dengan satu pertuduhan, saya pun tak pasti apa pertuduhan dia dan selebihnya kita serah kepada mahkamah untuk dia dibicarakan.

“Dia belum bersalah dan dibuat pertuduhan, kita tunggu prosedur mahkamah, saya tak jumpa dia pagi tadi, dia duduk rumah dia, saya duduk di rumah saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×