Akta kawalan produk rokok dikuat kuasa sepenuhnya Jun ini

Akta kawalan produk rokok dikuat kuasa sepenuhnya Jun ini

MEROKOK antara punca 8.5 juta individu Malaysia berisiko menderita penyakit jantung dan strok. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Me­rokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sepenuhnya mulai bulan depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Akta 852 yang diwartakan pada Februari lalu adalah antara usaha kerajaan mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan produk tembakau termasuk rokok elektronik dan vape.

“Kita harapkan dengan perintah dan peraturan ini kita akan dapat menangani peningkatan rokok elektroknik atau vape dalam kalangan orang muda,” katanya selepas melancarkan Hasil Penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbi­diti (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan Permintaan Jagaan Kesihatan serta Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023.

Dr. Dzulkefly berkata, kajian GATS 2023 menunjukkan peni­ngkatan peratus pengguna rokok elektronik atau vape yang amat ketara terutama dalam kalangan orang dewasa yang berusia kurang 50 tahun.

Menurut kajian itu, penggunaan rokok elektronik di Malaysia meningkat sehingga 600 peratus dengan 5.8 peratus pengguna pada tahun lalu berbanding hanya 0.8 peratus pada tahun 2011.

Pengguna rokok elektronik berumur 15 hingga 24 tahun me­nunjukkan peningkatan drastik daripada 1.1 peratus pada tahun 2011 kepada 8.6 peratus pada tahun lalu.

Selain itu, dwipengguna (tembakau dan rokok elektronik) turut meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 3.9 peratus pada 2023 iaitu peningkatan hampir 400 peratus.

“Tiga alasan utama penggunaan rokok elektronik kerana ia tersedia dalam perisa yang digemari, persepsi bahawa kurang memudaratkan berbanding menghisap rokok dan mudah dinikmati,” menurut kajian itu.

Dapatan GATS 2023 menunjukkan seramai 4.8 juta atau 19 pe­ratus orang dewasa di negara ini adalah perokok tembakau dengan 3.7 juta orang merokok setiap hari.

Jumlah wang yang dibelanjakan secara purata sebulan untuk produk merokok adalah RM178.

Seramai 4,269 responden termasuk di luar bandar mengambil bahagian dalam tinjauan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN