Akaun Fleksibel: Orang ramai serbu pejabat KWSP - Utusan Malaysia

Akaun Fleksibel: Orang ramai serbu pejabat KWSP

ORANG ramai beratur menunggu giliran untuk urusan memin­dahkan wang caruman mereka daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel di Pejabat KWSP Nilai, Seremban, hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Nilai di sini juga tidak ketinggalan diserbu orang ramai yang mahu memin­dahkan wang caruman mereka daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

Tinjauan pemberita mendapati, terdapat enam kaunter khas telah disediakan di Pejabat KWSP Nilai bagi urusan berkenaan yang dilihat telah membantu melancarkan urusan tanpa perlu pencarum menunggu lama dan berbaris panjang. 

Kebanyakan pencarum ketika ditemui memberitahu, mereka hadir ke pejabat KWSP bagi mendapatkan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) dan bagi tujuan mengemaskini nombor telefon walaupun perkara itu boleh dilakukan oleh pencarum secara dalam talian menerusi i-Akaun.

Seorang pencarum, Sabturiah Muldani, 41, memberitahu, semalam dia dan suami telah buat secara dalam talian menerusi i-Akaun tetapi gagal kerana memerlukan kemas kini nombor telefon. 

“Sebab itu, hari ini saya mengambil cuti semata-mata untuk datang melakukan urusan pemindahan wang dalam KWSP,” katanya.

Dia yang bekerja kilang di Bandar Enstek di sini berkata, walaupun wang dalam Akaun Sejahtera miliknya tidak banyak tetapi jumlah itu sangat diperlukan untuk kegunaan keluarga.

“Bolehlah nanti digunakan untuk keperluan seperti menyelesaikan hutang-hutang yang tertangguh. Memang saya dan suami tidak melepaskan peluang memindahkan sebahagiannya ke Akaun Fleksibel.

Perkara yang sama turut dinyatakan Abdullah Qahar, 27, yang tidak ketinggalan membuat penstrukturan semula akaun KWSP untuk memudahkannya mengeluarkan wang dari Akuan Fleksibel pada bila-bila masa.

“Kebetulan hari ini saya mengambil cuti jadi saya ambil peluang untuk mengemas kini nombor telefon bagi memudahkan urusan pemindahan wang KWSP. 

“Saya rasa ini satu perkara yang baik untuk menyelesaikan masalah ekonomi rakyat yang banyak terhimpit dengan kos sara hidup,” katanya lagi,

Dalam pada itu, seorang kakitangan pejabat berkenaan memaklumkan kira-kira 80 peratus pencarum telah hadir bagi urusan memindahkan wang KWSP.

“Kami telah buka kaunter seawal pukul 8.15 pagi walaupun operasi pejabat bermula pada pukul 8.30 pagi. 

“Sebanyak enam kaunter khas turut dibuka bagi melancarkan perjalanan berkaitan pemindahan wang KWSP tersebut,” katanya.

Pencarum KWSP yang berusia 55 tahun ke bawah boleh memohon untuk memin­dahkan 10 per 30 simpanan dalam Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel menerusi aplikasi i-Akaun atau mengunjungi cawangan KWSP di seluruh negara mulai semalam sehingga 31 Ogos.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN