Abdul Akif, Esther ungguli Anugerah Belia Negeri Sembilan

Abdul Akif, Esther ungguli Anugerah Perdana Belia Negara Negeri Sembilan

ABDUL Akif Rahim dan Esther Ezhilnanggai masing-masing menerima Anugerah Perdana Belia Negara Tahun 2024 Peringkat Negeri Sembilan Bagi Kategori Individu bagi Lelaki dan Wanita pada Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2024 Peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di Seremban semalam.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hasil penglibatan aktif lebih 10 tahun dalam berpersatuan selain sumbangan diberikan kepada masyarakat telah membawa dua anak muda bagi menerima Anugerah Perdana Belia Negara Tahun 2024 Peringkat Negeri Sembilan.

Kedua-dua mereka ialah Abdul Akif Rahim 33, dan Esther Ezhilnanggai 22, yang memenangi kategori individu lelaki dan wanita sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta trofi dan sijil pada majlis Sambutan Hari Belia Negara Tahun 2024 Peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung semalam

Abdul Akif berkata, dia gembira pada masa yang sama berasa sebak kerana pencapaiannya itu diiktiraf pihak Kementerian Belia dan Sukan dan kerajaan Negeri Sembilan.

“Bersama pengiktirafan terbaharu diterima ini, saya sedia dipanggil oleh mana-mana pihak yang memerlukan pengalaman saya dalam belia bagi perkongsian ilmu.

“Harapan saya, agar ramai belia dapat menyertai persatuan belia kerana di situ keperibadian, kepemimpinan dan komunikasi penyampaian baik dapat dibentuk mereka,” kata Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan itu.

Bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Pengajian Antarabangsa dari Universiti Malaya, Esther Ezhilnanggai, 22, pula berkata, anugerah yang diterimanya itu menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk meneruskan penglibatan dalam pengurusan belia. 

“Bagaimanapun, saya menganggap kejayaan saya ini bukan kemenangan saya seorang tetapi kemenangan semua individu yang menyumbang dalam mengangkat suara belia dan wanita di seluruh Negeri Sembilan.

“Saya tetap akan menyumbang kepada belia dan berharap agar anugerah seperti ini akan diteruskan dan menjadi galakkan kepada para belia lain untuk menyertai pertubuhan belia dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya yang juga merupakan seorang Ahli Parlimen Belia Malaysia Negeri Sembilan

Sambutan yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Paroi di sini itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×