KOTA BHARU: Seramai 52 warga asing ditahan menerusi Op Lejang Bersepadu yang dilakukan oleh Polis Kelantan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di negeri ini sepanjang tempoh seminggu bermula 21 Mei lalu lalu.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki harun berkata, daripada jumlah tersebut entik Rohingya menjadi warga asing yang paling ramai ditangkap diikuti Indonesia (8), Pakistan (6), Bangladesh (4) dan selebihnya India, Nepal serta Thailand.
Menurutnya, sepanjang operasi itu sebanyak 914 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Pada masa sama, kita turut merampas enam buah motosikal, kereta (3), forklift (1), lori (1) dan guni tembaga.
“Kita turut menyita 276 buah kenderaan iaitu motosikal (232), kereta (26), trak pikap (3), motosikal roda tiga (13) Hilux, (13), van (1) dan lori (1),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberutahu, operasi tersebut memberikan tumpuan kepada warga asing yang menggunakan motosikal roda tiga untuk membawa muatan barangan lusuh.
Katanya, polis mengingatkan kepada warga tempatan supaya tidak membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warganegara asing yang tidak memiliki lesen yang sah.
“Hal ini kerana tindakan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Pada masa sama ia boleh, menimbulkan kebimbangan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.-UTUSAN









