PETALING JAYA: Sebanyak 80 peratus atau kira-kira 27 juta daripada keseluruhan 34 juta rakyat Malaysia mendapatkan rawatan di fasiliti kerajaan menyebabkan isu kekurangan petugas ke sihatan awam berterusan.
Berdasarkan Petunjuk Kesihatan 2023, jumlah keseluruhan doktor berdaftar yang direkodkan sehingga 31 Disember 2022 adalah sebanyak 74,694 orang.
Daripada jumlah itu, seramai 58,193 doktor berkhidmat di sektor awam manakala 16,501 di sektor swasta.
Ini bermakna seorang doktor yang bertugas di sektor awam perlu merawat lebih 500 pesakit dengan mengambil kira 80 peratus daripada lebih 34 juta rakyat Malaysia mendapatkan perkhidmatan di situ.
Bagaimanapun, Petunjuk Kesihatan 2023 mengunjurkan nisbah seorang doktor adalah 412 pesakit (1:412) berbanding 1:420 pada 2021.
Untuk kemudahan penjagaan kesihatan awam, nisbah yang disyorkan adalah seorang doktor kepada 400 pesakit (1:400).
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, unjuran nisbah tersebut mengikut tahap pendapatan kemajuan negara terkini serta nisbah keseluruhan yang merangkumi kedua-dua
doktor dari sektor awam dan swasta.
Menurutnya, nisbah yang disyorkan kepada seorang doktor adalah 400 pesakit (1:400) tidak terlalu jauh tetapi terdapat beberapa masalah sehingga menyebabkan kekurangan pegawai perubatan.
“Hampir 80 peratus atau 28 juta rakyat di negara ini lebih memilih untuk pergi ke hospital kerajaan. Ini menunjukkan pegawai perubatan di hospital kerajaan merawat lebih ramai pesakit,,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, dilaporkan sebanyak 747 pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah ditempatkan di fasiliti kesihatan seluruh negara bermula bulan ini bagi mengatasi kekurangan pegawai perubatan
sedia ada.
Penempatan itu juga bertujuan memberi latihan supaya mereka mendapat pendedahan dan latihan klinikal mencukupi.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, langkah itu penting supaya mereka mampu memberi perkhidmatan berkualiti dan dapat mengamalkannya dengan selamat.
Mengulas lanjut, Boon Chye berkata, Malaysia kekurangan pakar pegawai perubatan yang muda.
“Jika dilihat, hospital kerajaan kekurangan pakar perubatan dalam kalangan orang muda berbanding yang sudah berumur dan dilaporkan akan menamatkan khidmatnya.
“Kita kekurangan semua pakar di dalam setiap bidang. Ini menyebabkan terdapat temu janji untuk pembedahan terpaksa ditangguhkan sehingga ada pakar yang lain,” katanya.
Tambahnya, urusan penyampaian sistem perkhidmatan di Kementerian Kesihatan (KKM) harus dipertingkatkan untuk lebih efisien.
“Jika penyampaian itu lebih efisien, pesakit tidak akan kerap ke hospital dan dapat mengurangkan kesesakan di hospital.”
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Azizan Abdul Aziz berkata, unjuran berdasarkan petunjuk kesihatan tersebut tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan dalam
penjagaan kesihatan awam.
Menurutnya, penting untuk mempunyai data mengenai pengagihan pekerja penjagaan kesihatan.
“Hanya dengan data ini boleh tahu kekurangan dan bilangan pekerja penjagaan kesihatan yang kita perlukan di setiap kemudahan dan harus dikongsi di papan pemuka di laman web KKM,” katanya. – UTUSAN










