PETALING JAYA: Kira-kira seramai 1.5 juta isi rumah akan terjejas hasil pendapatan mereka bagi jangka panjang sekiranya kempen ‘Tiada Minyak Sawit’ atau ‘No Palm Oil’ yang dipaparkan pada pembungkusan produk dari luar negara dijual di Malaysia.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, kerajaan perlu membuat penguatkuasaan secara bersepadu di semua negeri.
Katanya, 560,000 pekebun kecil melibatkan hampir 1.6 juta hektar ladang yang mengusahakan kelapa sawit akan terkesan sekiranya kempen tersebut sampai ke peringkat antarabangsa.
“Jika kempen tersebut sampai ke peringkat antarabangsa ia akan menambahkan lagi masalah negara dalam industri minyak kelapa sawit.
“Harga minyak kelapa sawit akan jatuh lebih rendah yang akhirnya banyak pihak terkesan” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak sama ada penjual, pengedar atau pengimport produk yang mendiskriminasi minyak sawit negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan tegas boleh diambil di bawah akta sedia ada bagi melindungi kepentingan minyak sawit yang merupakan komoditi penting buat negara.
Kata beliau, minyak sawit merupakan eksport ketiga terbesar negara dan sektor berkenaan memberi peluang pekerjaan kepada hampir satu juta orang.
Adzmi berkata, pihaknya menyokong tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam menjalankan operasi berikut.
“Tindakan penguatkuasaan itu adalah tepat dalam masa kita giat mempromosikan minyak kelapa sawit melalui satisfikasi minyak sawit yang mampan.
“Kita juga mesti memantau dan meneliti bekalan minyak yang diimport ke Malaysia, terutamanya mempunyai unsur-unsur ‘Tiada Minyak Sawit’,” katanya.










