Warga Singapura serbu Johor, belanja RM350 juta

Warga Singapura serbu Johor, belanja RM350 juta

MENGUASAI literasi kewangan bukan sahaja membantu dalam kehidupan seharian, tetapi juga memberi peluang untuk mencapai kestabilan kewangan jangka panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 300,000 warga Singapura menyerbu Johor terutama pada cuti hujung minggu dipercayai untuk memberi barangan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kejatuhan ringgit berbanding dolar Singapura dikatakan antara faktor yang mendorong mereka berbelanja di sebelah Tambak Johor.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia, secara purata sebuah keluarga Singapura yang meraikan Aidilfitri membelanjakan kira-kira SG$1,000 (RM3,500) untuk membeli baju raya, kuih-muih dan kelengkapan lain.

PULANGAN

Justeru, andai 100,000 daripada lebih 300,000 yang memasuki itu adalah ketua keluarga dan membelanjakan RM3,500 di negara ini, khususnya Johor, ia mampu memberikan pulangan kira-kira RM350 juta.

Pengarah Imigresen negeri, Baharuddin Tahir berkata, berdasarkan data kemasukan pengunjung dari republik berkenaan meningkat kira-kira 20,000 pada hari minggu berbanding hari biasa.

Menurutnya, data yang direkodkan pada Sabtu minggu kedua, ketiga dan keempat merekodkan jumlah pengembara seramai 366,000 orang yang melalui laluan darat di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.

“Sebagai contoh, jumlah ke­seluruhan kemasukan warga Singapura di BSI pada hari Se­lasa minggu kedua, ketiga dan keempat adalah seramai 304,000, jumlah itu meningkat kepada 366,000 pada hari Sabtu dalam minggu yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jumaat lalu, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura mendedahkan lebih setengah juta orang menyeberangi sempadan darat Si­ngapura-Malaysia.

ICA berkata, seramai 510,000 pengembara melalui Pusat Pe­meriksaan Woodlands dan Tuas menjelang hujung minggu panjang sempena sambutan Good Friday dan ia merupakan jumlah pengembara tertinggi yang direkodkan menggunakan pusat pemeriksaan darat dalam satu hari.

IMPAK

Nyata kehadiran ramai rak­yat Singapura, khususnya di beberapa pusat belah-belah seperti Angsana Johor Bahru Mall, Mid Valley Southkey, Aeon Tebrau, Paradigm Mall dan Toppen untuk berbelanja di negeri ini membawa impak ekonomi yang besar.

Seorang rakyat Singapura, Rahmat Lumri, 64, sanggup menggunakan khidmat kereta sewa dari Johor Bahru untuk mengambil mereka sekeluarga di Bedok untuk berbelanja di Angsana Johor Bahru Mall.

Menurutnya, dia dapat berjimat banyak dengan berbelanja di bandar raya ini berbanding di Singapura, bahkan pilihan barangan keperluan di sini lebih pelbagai.

“Saya lihat kesan (kejatuhan ringgit) main peranan. Kalau bawa SG$1,000, tukar di sini sudah hampir RM3,500 dan dengan jumlah itu sudah mewah berbelanja, boleh beli macam-macam. Jika banding dengan Pulau Batam, Indonesia saya lebih memilih berbelanja di sini kerana lebih puas hati,” katanya.

SERONOK

Bagi Ramona Umar, 58, pula berbelanja di Johor Bahru lebih seronok kerana pilihan kuih raya tradisional lebih banyak dan murah berbanding di Singapura.

“Di Singapura, susah nak jumpa kuih tradisional seperti kuih koya, tapi ia ada dijual di sini. Bukan sahaja sini ba­nyak pilihan dari segi baju raya, kuih-muih pun banyak juga,” katanya.

Ketika tinjauan, ada segelin­tir rakyat Indonesia juga sanggup ‘turun padang’ untuk membeli-belah di bandar raya ini.

Faizal Rahman, 45, dan iste­rinya sanggup datang dari Tanjung Pinang, Indonesia untuk membeli baju raya bagi keluarganya.

“Dekat sini pilihan meriah, saya jadi rambang mata untuk memilih. Sudah beberapa tahun saya dan isteri ke sini untuk membuat persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya yang menginap di sebuah hotel di sini.

MEWAH

Dalam pada itu, seorang pe­niaga yang hanya mahu dikenali sebagai Kechik mengakui keja­tuhan nilai ringgit berbanding dolar Singapura memberi kesan yang besar apabila lebih ramai rakyat negara jiran itu membuat persiapan Aidilfitri di sini.

“Kita dapat lihat sejak awal Ramadan bermula, mereka me­wah berbelanja. Ada antara mereka yang bersahaja berbe­lanja antara RM1,000 hingga RM4,000 dalam satu resit. Se­tiap hari minggu, kita boleh nampak berduyun-duyun me­reka ini datang menyeberangi Tambak Johor untuk berbelanja sakan di Johor, khususnya di Angsana Johor Bahru Mall,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×