GUA MUSANG: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta jenis Proton Saga dipandunya terbabas dan merempuh penghadang jalan di Jalan Persiaran Raya susur Taman Damar di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa, Omar Hassan, 85, yang beralamat di Kampung Baru Bukit Sireh, Kuala Krai dekat sini maut di lokasi kemalangan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Kuala Lipis menghala ke Gua Musang.
Menurutnya, setibanya di lokasi mangsa telah terlanggar besi penghadang jalan susur Taman Damar.
“Akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di lokasi kemalangan dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
“Hasil proses bedah siasat, punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh pendarahan yang banyak dengan kecederaan paru-paru disebabkan patah tulang selangka sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh menyalurkan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 099121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 013-3010408,” ujarnya-UTUSAN










