JEMPOL: Seorang buruh yang dipercayai bertindak sebagai pengedar dadah ditahan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan di Jalan Besar Bahau-Juasseh, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 63 tahun itu ditahan polis kira-kira pukul 11.50 malam kerana didapati memiliki dadah jenis syabu ketika kenderaan yang dipandunya jenis Proton Saga melalui pemeriksaan di SJR berkenaan.
“Warga emas berkenaan bekerja sebagai buruh dan berasal dari Kuala Pilah. Dalam sekatan itu, polis mendapati terdapat 52 peket plastik lutsinar pelbagai saiz setiap satunya berisi ketulan bahan disyaki dadah berbahaya jenis syabu dengan anggaran berat 62.07 gram bernilai RM6,827.70.
“Selain itu, turut ditemui sepeket plastik berisi tumbuhan kering disyaki dadah berbahaya jenis ganja dengan anggaran berat 3.85 gram bernilai RM115.50 dan satu alat penimbang digital,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, kesemua dadah dan barangan berkenaan dirampas termasuk satu beg dompet berwarna hitam mengandungi wang berjumlah RM1,000 dan beg silang berwarna hitam.
Menurutnya, kenderaan suspek yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah itu juga dirampas.
“Ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.-UTUSAN.










