ISKANDAR PUTERI: Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan termasuk sebuah lori di Jalan Pontian Lama, di sini.
Dalam nahas pukul 1.50 petang semalam itu, mangsa yang berusia 33 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ibrahim Mat Som berkata, mangsa yang memandu Toyota Vios berwarna hitam telah hilang kawalan dan berpusing semasa melalui selekoh di jalan tersebut sehingga memasuki laluan bertentangan.
“Kereta dipandu mangsa telah dirempuh oleh lori yang datang dari arah bertentangan. Sebuah lagi kereta Toyota Vios berwarna coklat tidak sempat brek lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut.
“Mangsa yang merupakan warganegara tempatan disahkan maut di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala. Dua pemandu lain terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan maut ini boleh salurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Hafizuddin Hamdan menerusi talian 018-5779391 atau menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di talian 07-5101322..
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Ακτa Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya. – UTUSAN










