Tragedi Helikopter: Mohamad Amir tulang belakang keluarga - Utusan Malaysia

Tragedi Helikopter: Mohamad Amir tulang belakang keluarga

MOHAMAD BORAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Pegawai Memerintah Skuadron 502 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Mohamad Amir Mohamad adalah tulang belakang bagi keluarga, terutamanya banyak membantu dari segi kewangan.

Bapanya, Mohamad Borak, 71, mengakui pemergian Mohamad Amir, 44, merupakan kehilangan besar bagi keluarganya.

“Dia selalu bantu keluarga dari segi kewangan, bantu sara pelajaran adik-adik, kalau saya perlukan duit dia selalu hulur. Dia anak kedua daripada sembilan beradik, biasalah dia abang mesti tegas dengan adik-adik,” katanya ketika ditemui di Felcra Bukit Kepong di sini hari ini.

Mohamad Amir yang merupakan juruterbang helikopter Fennec (M502-6) adalah salah seorang daripada 10 pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam tragedi dua helikopter bertembung sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, hari ini.

Mohamad berkata, isterinya, Napkiah Ahmad, 71, masih terkejut menerima berita pemergian Mohamad Amir dan kali terakhir mereka sekeluarga berkumpul pada 1 Syawal lalu.

Menurutnya, tiada perubahan ketara yang ditunjukkan Mohamad Amir kerana arwah merupakan seorang yang ceria.

“Itulah apabila anak kita jadi askar, saya doakan mudah-mudahan dia mati syahid. Saya bangga dia menjadi anggota tentera tetapi sudah sampai masanya,” katanya.

MARHAMAH Mohamad (kiri) menunjukkan gambar arwah abangnya, Komander Mohamad Amir yang terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM di Pangkalan TLDM Lumut, Perak ketika ditemui di Felcra Bukit Kepong, Segamat.

Sementara itu, adik mangsa, Marhamah, 36, memberitahu menerima panggilan daripada isteri Allahyarham, Marliyati Basri tengah hari tadi memaklumkan kemalangan menimpa suaminya.

“Saya ingatkan kemalangan jalan raya biasa, rupanya kemalangan helikopter. Setiap tahun abang sertai latihan lintas hormat sambutan ulang tahun TLDM, tak sangka ini latihan raptai terakhir abang Amir.

“Abang sudah menyertai TLDM lebih 20 tahun dan menjadi inspirasi kepada saya terlibat dengan TLDM,” katanya sambil menyifatkan arwah seorang yang tegas, tetapi sentiasa mengambil berat dan membantu menanggung perbelanjaan persekolahan adik-adiknya.

Jenazah Allahyarham Mohamad Amir dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong, dekat sini pagi esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN