PETALING JAYA: Polis memburu tiga lelaki dipercayai membakar anak kucing di tempat meletak motosikal Flat Seri Kenari, Kajang dekat sini semalam.
Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang wanita pada 10.51 pagi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pengadu berusia 63 tahun itu membuat laporan memaklumkan anak kucing dibakar hidup-hidup di tapak parkir motosikal berkenaan.
Katanya, wanita berkenaan cuba mencari anak kucing berkenaan di sekitar flat dan menemukannya dalam keadaan lemah sebelum segera menghantarnya ke klinik veterinar swasta di Ampang.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari.
“Suspek tiga lelaki dikatakan sedang melepak di tapak parkir berkenaan sebelum dua daripada mereka menyimbah dipercayai bahan bakar ke atas anak kucing dan salah seorang menyalakan api.
“Ketiga-tiga mereka hanya menyaksikan anak kucing berkenaan berlari dalam keadaan badan terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zaid berkata, anak kucing yang dianggarkan berusia enam minggu dengan berat 300 gram itu disahkan mengalami kecederaan melecur tahap dua.
“Keadaan anak kucing agak kritikal dan perlu diletakkan di bawah penjagaan rapi di klinik veterinar sekurang-kurangnya seminggu.
“Bahagian Siasatan Jenayah IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kajang sudah pun mengenal pasti suspek dan kini sedang giat mengesan mereka untuk membantu siasatan,” katanya.
Tambahnya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.- UTUSAN











