Tiada lagi kelibat helikopter Fennec di ruang udara Bukit Kepong

Tiada lagi kelibat helikopter Fennec di ruang udara Bukit Kepong

SHAHRIL Tukiman (berdiri dua dari kiri belakang) bergambar raya terakhir bersama Mohamad Amir Mohamad (paling kanan berbaju biru) dan rakan-rakan sekampung pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Felcra Bukit Kepong, Segamat baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: “Tiada lagi kelibat helikopter Fennec lalu di ruang udara kampung kami Bukit Kepong selepas ini.”

Itulah luahan Shahril Tukimin, 42, seorang daripada rakan Komander Mohamad Amir Mohamad, 44, yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak kelmarin.

Dia mengenali Mohamad Amir sejak kecil dan turut belajar di sekolah yang sama dari sekolah rendah hingga menengah.

“Saya masih ingat, setiap kali dia perlu melintas ruang udara kampung kami, dia akan hantar mesej dalam kumpulan WhatsApp memberitahu akan terbang tidak lama lagi. Kami berasa teruja dan berlari keluar di pekarangan rumah untuk merakam video dan melambai ke arahnya yang berada di ruang udara menaiki Fennec yang terlibat dalam nahas tersebut.

“Saat itu kami rakan-rakan sekampung berasa bangga mempunyai sahabat yang berjaya sebagai pegawai tinggi dalam TLDM. Selepas ini, kami akan merindui kelibat helikopter Fennec dan sudah semestinya tiada lagi mesej daripadanya memberitahu akan melintasi ruang udara kampung kami,” katanya ketika ditemui di Felcra Bukit Kepong, dekat sini semalam.

Shahril yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini memberitahu, kali terakhir bertemu Mohamad Amir pada sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

“Masih segar dalam ingatan saya dua hari sebelum Aidilfitri, kami duduk bersembang di Kedai Bujal di kampung kami. Selepas itu, kami ke Kedai Kutat, warung menjual makanan sambil bergotong-royong memasak kari kambing untuk moreh,” katanya dalam nada sebak.

Dalam pada itu, seorang lagi rakan Allahyarham, Pegawai Waran I (B) Noor Ahmadi Hamdan, 42, memberitahu, Mohamad Amir berhasrat membina rumah di Felcra Bukit Kepong apabila bersara kelak.

“Arwah Amir pernah memberitahu dia mencari tanah kosong untuk didirikan rumah sebagai perancangan selepas pencen kelak. Dia menjadi tulang belakang keluarga dan banyak bantu keluarganya. Segalanya, dia akan dahulukan keluarganya,” ujarnya.

Noor Ahmadi mengakui banyak kenangan semasa dia berkhidmat dalam TLDM dan berjumpa Mohamad Amir sewaktu menjalani operasi ketenteraan seperti Op Daulat, Op Benteng dan di Pangkalan Lumut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN