KOTA BHARU: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan bimbang dengan aktiviti menggali telaga tiub untuk mendapatkan bekalan air yang dikhuatiri mengundang berlaku mendapan tanah di negeri itu.
Yang Dipertuanya, Mohd. Syahiran Muhammad berkata, ini kerana aktiviti tersebut dilihat sampai ke tahap tidak terkawal disebabkan oleh masalah tiada bekalan air.
“Jika aktiviti menggali telaga atau telaga tiub sampai ke tahap tidak terkawal, negeri ini akan terkesan dengan fenomena tanah mendap.
“Fenomena tersebut akan menyebabkan tanah-tanah di negeri ini berisiko untuk berada di bawah paras laut dan akan menerima pelbagai impak negatif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mohd. Syahiran berkata, aktiviti menggali telaga tiub didakwa sehingga separuh rakyat Kelantan tidak seharusnya berlaku.
Katanya, ABIM menggesa kerajaan negeri menyegerakan penyelesaian isu bekalan air bersih berbanding tempoh yang diumum oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin, iaitu menjelang tahun 2027.
PELAN
“Kerajaan negeri harus membentangkan pelan penyelesaian air negeri dan seeloknya diselesaikan lebih awal iaitu pada suku pertama tahun 2026. Kami turut menggesa agar pelan tersebut dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap sesi.
“Pembentangan itu penting dalam memastikan proses pelan penyelesaian masalah bekalan air di negeri itu diketahui oleh rakyat dari semasa ke semasa,” katanya.
Mingguan Malaysia sebelum ini melaporkan kira-kira 50 peratus atau 600,000 daripada 1.2 juta rakyat Kelantan kini bergantung kepada telaga atau telaga tiub untuk mendapatkan belakan air bersih selepas masalah lebih 25 tahun lalu tidak selesai.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, kerajaan Kelantan setakat ini belum menerima sebarang maklumat berkaitan mendapan tanah akibat penggalian telaga atau telaga tiub.
Menurut beliau, pihaknya melalui Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) telah membuat kajian sebelum proses penggalian telaga dilaksanakan.
“Di bawah tanah kita ini sebenarnya terdapat aliran sungai dan dalam urusan penggalian serta pembinaan telaga tiub, sebenarnya kita sudah buat kajian mengenai kuantiti air dan sebagainya.
Sehingga kini terdapat sebanyak 42 telaga tiub di bawah tadbir urus AKSB.
“Dari segi teori mungkin situasi tersebut boleh terjadi tetapi setakat ini kejadian tanah mendap berkaitan penggalian telaga tiub belum berlaku,” kata beliau semasa Jamuan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini semalam. – UTUSAN










