KOTA BHARU: Seorang lelaki warganegara Kemboja yang dipercayai bertindak sebagai tekong darat dicekup bersama tiga lagi rakannya di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Neting, Tumpat, semalam.
Kesemua suspek itu ditahan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menerusi penugasan ‘Mobile Snap Check’ pada pukul 9.30 pagi.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa menjalankan tugas anggota PGA telah bertindakn menahan sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, anggota bertugas telah bertindak menahan kereta tersebut dan pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan empat lelaki warga Kemboja.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta yang berusia 43 tahun mempunyai pasport dan pas lawatan ke Malaysia yang masih sah.
“Bagaimanapun, tiga lagi warga asing itu memiliki pasport yang masih sah laku tetapi tidak mempunyai pas lawatan ke negara ini,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, ketiga-tiga warga asing itu masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan.
Katanya, kesemua mereka itu kemudian akan menaiki kereta yang dipandu oleh salah seorang warga asing ke Kota Bharu.
“Warga asing yang memandu kereta tersebut sering keluar masuk ke negara ini. Kereta yang digunakan itu dipercaya telah dibeli oleh seorang lelaki Melayu di Kota Bharu.
“Semakan lanjut kereta tersebut milik seorang lelaki warga tempatan. Bagaimanapun, kereta itu telah dijual sebelum ini tanpa ditukar nama,” ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, rakaman percapakan dengan pemilik asal kenderaan itu akan dijalankan.-UTUSAN










