Switzerland dakwa 2 lelaki gelapkan dana 1MDB AS$1.8b

Switzerland dakwa 2 lelaki gelapkan dana 1MDB AS$1.8b

Najib Tun Razak diiringi pasukan keselamatan hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELLINZONA: Dua lelaki yang dituduh menggelapkan AS$1.8 bilion (RM8.550 bilion) dana kekayaan Malaysia, 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dibi­carakan di Switzerland, semalam.

Ini perbicaraan terbaharu susulan skandal kewangan berbi­lion dolar.
Peguam kepada kedua-dua lelaki itu berkata, anak guamnya, Tarek Obaid dan Patrick Mahony akan mengaku tidak bersalah.

Obaid memiliki dua kewar­ganegaraaan Swiss-Saudi, mana­kala Mahony Swiss-British.
Mereka dituduh oleh pendakwa negara Switzerland kerana terlibat dalam operasi penyelewengan besar-besaran yang didalangi oleh Jho Low, seorang penasihat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Skandal 1MDB membawa kepada siasatan jenayah di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.

Didakwa berbilion-bilion do­lar dirompak daripada 1MDB dengan sebahagian dana 1MDB diselewengkan oleh sebilangan individu dan digunakan untuk membeli barangan daripada karya seni untuk kapal layar mewah.

Perbicaraan terbaharu sepanjang April ini, sedang diadakan di Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland di bandar selatan Bellinzona.

MEMINTA

Menurut laporan berita domestik Switzerland, Keystone-ATS, peguam kepada salah seorang tertuduh meminta presiden mahkamah menarik diri daripada kes itu kerana percaya bahawa hakim menerima tesis pendakwaan dan dengan itu menimbulkan keraguan keupayaannya untuk menjalankan prosiding secara saksama.

Menurut fakta pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan tujuan memperkayakan diri mereka dan orang lain telah menyalahgunakan sekurang-kurangnya AS$1.8 bilion (RM8.550 bilion yang dipindahkan daripada 1MDB berhubung usaha sama dengan syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak Saudi PetroSaudi dan kemudian mencuci jumlah yang terlibat.

“Tuduhan itu meliputi dari 2009 hingga 2015 dan merupakan kesalahan penipuan atas dasar komersial, salah urus jenayah yang lebih teruk dan pengubahan wang haram yang lebih teruk.

“Kedua-dua tertuduh menggunakan wang yang diselewengkan untuk memperoleh antara lain aset, hartanah di Switzerland dan di London, barang kemas, ekuiti persendirian untuk membangunkan aktiviti PetroSaudi yang mana mereka menerima pendapatan yang besar, dan untuk mengekalkan gaya hidup mewah,” menurut pertuduhan itu.

Biro pendakwaan awam Switzerland mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatan mereka di AS, Malaysia, Britain, Singapura, Jersi, Kanada dan Barbados atas kerjasama mereka.
Menurut peguam Mahony, Maurice Harari dan Laurent Baeriswyl, yang dipetik dalam akhbar

Tribune de Geneve, dakwaan verbose (kata-kata) adalah kemuncak penyiasatan yang berat sebelah dan tidak lengkap.

Pada tahun 2005, Obaid berkhidmat sebagai penasihat peribadi kepada monarki Saudi, akhbar Switzerland Le Temps menulis dalam siasatan panjang yang diterbitkan pada 2018.
PetroSaudi berpangkalan di dalam istana diraja dan jaminan tersirat mahkota membuka pintu di dunia minyak.

Pada 2009, Obaid mendekati Najib yang menjadi Perdana Menteri Malaysia pada tahun itu dan Najib kemudian menawarkan tawaran perniagaan kepadanya. Skandal 1MDB membawa kepada kejatuhan kerajaan Najib pada 2018. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN