KEMAMAN: Seorang pengajar jururawat di Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama suaminya, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, semalam bagi pertuduhan mengabaikan anak perempuan kandung mereka berusia 14 tahun hingga menyebabkan kematiannya, November tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh, Shafina Azlin Shahidan, 46 dan suaminya, Azman Awang, 47, mengangguk faham dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama telah mengabaikan Azreen Naguin yang ketika itu berusia 14 tahun hingga menyebabkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat pneumonia.
Kesalahan itu dilakukan kedua-kedua tertuduh pada 2 November tahun lalu antara pukul 9.30 malam hingga 10.45 malam di Taman Alam Perdana, Binjai, dekat sini.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda maksima RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Kedua-dua tertuduh juga dikenakan syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis terdekat pada setiap 7 hari bulan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali dan Mahkamah menetapkan 30 Mei depan sebagai sebutan semula kes.
Sebelum ini, polis menerima maklumat berkenaan kematian kanak-kanak itu di kediaman mereka pada 2 November lalu.










