KOTA BHARU: Strategi kawalan di sempadan Malaysia-Thailand telah diubah susulan fenomena El Nino yang menyebabkan beberapa kawasan Sungai Golok mulai kering akibat kemarau.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perubahan itu bagi memastikan keselamatan sempadan berada pada tahap terbaik.
Menurutnya, perkara itu sudah dibincangkan bersama Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam mengatasi masalah tersebut.
“Insya-Allah kita akan lihat hasil perubahan yang dilakukan itu.
“Ketika ini kawasan Sungai Golok yang kering ialah di Tok Deh dan kawasan berhampiran sempadan di Rantau Panjang,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, semua Ketua-Ketua Polis Daerah yang terletak berhampiran sempadan sudah diminta supaya memperketatkan kawalan terutama di lapisan kedua.
Katanya, hal ini kerana lapisan pertama sempadan sudah dikawal oleh PGA dan tentera.
“Jika keadaan meruncing anggota polis akan digerakan untuk masuk ke kawasan operasi.
“Polis Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dengan jenayah rentas sempadan,” ujarnya.-UTUSAN










