SPNB rintis pemasangan panel solar pada RMR

SPNB rintis pemasangan panel solar pada RMR

HUSAM Musa (dua dari kanan) menyerahkan replika kunci rumah kepada penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah RMR 2.0 di Kampung Bagan Bawah, Pulai Chondong, Machang,Kelantan. UTUSAN/ ROSMIZAN RESDI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sedang dalam perbincangan untuk melaksanakan projek rintis pemasangan panel solar bagi pembinaan kediaman di bawah program Rumah Mesra Rakyat (RMR) pada September depan.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, setakat ini, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama tiga buah syarikat yang boleh membekalkan panel solar secara langsung.

Menurutnya, perbincangan secara teliti perlu dilakukan bagi memastikan beberapa keperluan dari segi logistik, kesesuaian dan penjimatan dapat dilaksanakan.

“Projek rintis bagi pemasangan panel solar itu akan membantu menjimatkan kos elektrik dan mengurangkan beban terutamanya melibatkan golongan B40.

“Kajian bagi cadangan pemasangan panel solar ini telah dilaksanakan sejak Disember tahun lalu. Kini, ia sudah masuk ke peringkat perbincangan bersama syarikat yang terlibat,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Majlis Penyerahan Replika Kunci Rumah RMR 2.0 di Kampung Bagan Bawah, Pulai Chondong di sini hari ini.

Husam memberitahu, pelaksanaan panel solar itu juga akan mengambil kira persetujuan tuan rumah dan kesesuaian rumah tersebut sama ada kawasan lapang atau sebaliknya.

Katanya, SPNB juga bakal mengadakan rundingan bagi memastikan pemasangan panel solar tidak melibatkan kos dan perbelanjaan tambahan.

Dalam perkembangan lain, Husam berkata, SPNB menyasarkan untuk membina sebanyak 3,100 unit rumah menerusi RMR 2.0nbagi mempercepatkan kumpulan B40 memiliki kediaman sendiri.

Katanya, sejak RMR 2.0 diperkenal pada Februari lalu, pihaknya menerima sebanyak 58 permohonan dan sedang membina sebanyak 17 unit selain satu unit telah siap dibina.

“Sejak RMR diperkenalkan bermula 2002 sehingga bulan Mac lalu, SPNB telah berjaya membina sebanyak 64,657 unit RMR di seluruh negara.

“Daripada jumlah tersebut, negeri Kelantan mencatatkan jumlah pembinaan tertinggi iaitu 10,231 unit diikuti Terengganu dan Johor,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×