Sock Tao  10A SPM, 7A UPSR

Pang Sock Tao 10A SPM, 7A UPSR

PANG Sock Tao pada hari penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu, hari ini. - UTUSAN/M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao mendedahkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sock Tao bertindak demikian bagi menyahut cabaran Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari untuk menyatakan keputusannya kepada khalayak umum.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan ibu bapanya yang membantunya meraih keputusan cemerlang.

“Ahmad Fadhli bertanya tentang UPSR dan SPM saya. Inilah jawapannya.

“Saya terhutang budi kepada guru-guru yang pernah mengajar saya. Ucapan terima kasih sahaja memang tidak cukup sebagai balasan atas jasa bakti yang telah dicurahkan dalam mendidik saya.

“Terima kasih juga kepada ibu bapa saya yang tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak mereka,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadhli yang juga  Ketua Penerangan Pas itu mencabar Sock Tao untuk menyatakan pendidikan rendah dan menengahnya.

“Isu pendidikan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut telah selesai. Pihak Universiti telah keluarkan kenyataan berhubung kelulusan Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan yang dimiliki beliau bahkan transkrip sijil juga telah disebarkan.

“Sekarang, saya mencabar calon PH pula untuk nyatakan pendidikan rendah dan menengahnya. Silakan. Di manakah peperiksaan UPSR dan SPM diambil, tentu menarik untuk diketahui,” katanya.

Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial mempersoalkan kelayakan akademik Khairul Azhari di mana beliau mempunyai ijazah sarjana tanpa dianugerahkan ijazah sarjana muda.

Bagaimanapun, sarjana yang dimiliki oleh Khairul Azhari itu disahkan oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Untuk rekod, Sock Tao meraih keputusan cemerlang iaitu 10A dalam SPM dan 7A dalam UPSR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN