Sindiket proses jus dadah bernilai RM2.2 juta lumpuh - Utusan Malaysia

Sindiket proses jus dadah bernilai RM2.2 juta lumpuh

M. KUMAR (dua dari kanan) dan beberapa pegawai menunjukan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket membuat jus dadah lumpuh apabila polis merampas lebih 13 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM2.2 juta jenis susulan penahanan tiga ahlinya dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Setia Indah, Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan pukul 1.30 petang itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 51 tahun serta seorang wanita warga asing berusia 32 tahun.

Susulan penahanan itu, satu lagi serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah teres dua tingkat di Seri Alam, di sini yang dijadikan tempat memproses semula dadah.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak Januari lalu dengan memproses semula pelbagai jenis dadah menjadi serbuk jus pelbagai perisa. Setiap satu peket jus dadah ini dijual lebih RM200. Jus dadah yang diproses itu kemudiannya dijual kepada pelanggan tetap untuk dijual di kelab-kelab malam bagi pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, pihak polis berjaya merampas 345 peket serbuk ekstasi berperisa seberat 13.2kg, 27 biji pil ekstasi, enam peket syabu dan sepeket ketamin yang keseluruhannya bernilai RM2.2 juta yang boleh digunakan oleh seramai 44,348 penagih.

Dalam serbuan itu, polis juga menyita sebuah kereta mewah, sebuah motosikal dan sebentuk cincin emas yang keseluruhan bernilai RM121,506 serta wang tunai berjumlah RM5,300.

Kumar berkata, hasil saringan urin mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala hasil semakan rekod mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Modus operandi sindiket pengedaran dadah itu adalah dengan menjadikan rumah sewa sebagai stor simpanan dan tempat pembungkusan semula dadah untuk diedarkan ke pasaran tempatan.

“Kami sedang giat mengesan dalang serta saki baki ahli sindiket tersebut yang dipercayai masih bebas. Ketiga-tiga suspek yang ditahan kini dalam tahanan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sejak awal tahun hingga 3 April lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah berjaya membuat tangkapan seramai 6,992 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan rampasan dadah sebanyak 1.64 tan bernilai RM10.62 juta serta menyita harta bernilai RM4.74 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×