Sindiket along upah RM600 hingga RM1,000 baling cat, molotov koktel - Utusan Malaysia

Sindiket along upah RM600 hingga RM1,000 baling cat, molotov koktel

M. KUMAR (tengah) menunjukan barangan yang dirampas daripada ahli sindiket along dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sindiket ceti haram atau along didapati mengupah ahlinya antara RM600 hingga RM1,000 setiap kali menjalankan kerja-kerja mengugut mangsa.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, perkara itu didedahkan tujuh ahli sindiket berkenaan yang ditahan dalam beberapa siri serbuan bermula 28 Mac hingga semalam di sekitar bandar raya ini yang bergiat aktif sejak Januari lalu dan dipercayai berpangkalan di luar negara.

“Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki Melayu, dua lelaki Cina dan seorang wanita Cina yang berusia antara 29 hingga 46 tahun. Siasatan mendapati kesemua mereka menerima upah sebanyak RM1,000 untuk melakukan kerja-kerja khianat menggunakan api, manakala RM600 untuk kerja-kerja membaling cat merah ke rumah-rumah mangsa

“Modus operandi sindiket ini adalah melalui pengiklanan tawaran pinjaman wang dalam laman sosial Facebook dengan nama ‘Singapore Legal Money Lender’s’ untuk memperdaya peminjam yang bekerja di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK)  Johor, di sini hari ini.

Kumar berkata, sindiket itu memberikan pinjaman dalam jumlah kecil antara RM1,000 hingga RM5,000 dengan mengenakan bayaran faedah antara 20 hingga 50 peratus menyebabkan mangsa sukar melangsaikan pinjaman mereka.

“Selain tujuh suspek yang ditahan, kita turut merampas tujuh telefon bimbit, seunit komputer riba, dua buah kenderaan, pelbagai alat tulis dan wang tunai berjumlah RM2,300.

“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, selain turut positif dadah jenis methamphetamine. Mereka semua ditahan reman bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 436, Seksyen 435, Seksyen 247 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Kumar turut memaklumkan polis negeri ini telah menahan seramai 333 suspek berkaitan sindiket along menerusi 1,211 serbuan dijalankan sejak Januari 2020 hingga Mac lalu.

Orang ramai diminta tidak melayari mana-mana iklan yang menawarkan pinjaman wang secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian hotline 019-2792095 atau Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-2212999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×