PETALING JAYA: Trend mencari jodoh dalam talian terus mendapat permintaan tinggi khususnya dalam kalangan wanita yang lebih selesa mencari suami menerusi mana-mana platform mencari jodoh.
Antara faktor trend tersebut ialah ramai wanita mahu ruang privasi dan terdapat dalam kalangan mereka yang kurang gemar bersosial.
Pengendali laman cari jodoh Baitulmuslim.com, Mohamad Hasrul Hamimie Abd. Hadi berkata, pihaknya kini menerima 23,000 pelanggan yang mahu mencari jodoh melibatkan wanita manakala selebihnya 11,000 pelanggan lelaki.
Menurut beliau, wanita yang berumur 34 hingga 44 tahun mendominasi mendaftar menjadi pelanggan di laman jodoh dalam talian dan kebanyakan mereka dari Lembah Klang.
“Selebihnya pula membabitkan wanita berusia 18 hingga 24 tahun. Tetapi ada juga umur 50 hingga 60 tahun turut mencuba nasib untuk mencari bakal suami menggunakan kaedah ini.
“Mereka menggunakan platform seperti ini untuk mencari jodoh kerana mungkin lebih selesa untuk bersosial di alam maya. Apatah lagi mereka menerima pendedahan teknologi baharu, jadi kaedah ini lebih memudahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Mohamad Hasrul, meskipun permintaan jodoh dalam talian dikendalinya tidak memberangsangkan berbanding ketika Perintah Pergerakan Kawalan (PKP), namun pendaftaran pelanggan baharu tidak putus.
Beliau berkata,buat masa ini pihaknya menerima 30 pendaftaran baharu pada setiap hari manakala 50 pengguna baharu sewaktu PKP pada awal 2020.
“Mungkin penurunan ini disebabkan persaingan laman pencari jodoh lain yang meluas seperti menggunakan aplikasi sosial TikTok dan X untuk mencari bakal pasangan rumah tangga,” katanya yang percaya trend mencari jodoh secara dalam talian akan terus berkembang.
Dalam pada itu, Mohamad Hasrul berkata, lebih 40 pasangan berjaya mendirikan rumah tangga setiap bulan menerusi aplikasi Baitulmuslim.com yang dimulakan sejak 2010.
“Ini terbukti ramai menyakini lebih selesa untuk bersosial di alam maya. Di alam nyata iaitu di dalam kehidupan seharian, mereka mungkin malu dan tiada masa untuk mencari jodoh,” katanya.- UTUSAN










